Umum mengetahui bahawa negara Malaysia sangat kaya dengan pelbagai sumber makanan laut yang boleh didapati di kawasan perairan.
Sesetengah daripada hasil laut yang diperoleh telah menjadi sumber pendapatan kepada nelayan dan para peniaga.
Haiwan laut seperti sotong adalah antara sumber makanan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia. Kebiasaannya, sotong boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti sambal, masak kicap, goreng kunyit dan boleh juga dijadikan kerabu.
Namun, bukan mudah untuk menangkap haiwan laut ini jika tidak kena dengan caranya. Teknik dan langkah yang betul memainkan peranan yang sangat besar dalam proses penangkapannya.
Justeru, baru-baru ini seorang nelayan tempatan di saluran Youtube miliknya telah berkongsikan satu teknik yang sering digunakan olehnya untuk menangkap sotong bagi tontonan umum.
Dalam video yang dikongsikan, Sazali Adam Bahar atau dipanggil sebagai Abang SAB telah menunjukkan perangkap yang digunakan olehnya bagi menangkap sotong kurita kecil atau baby octopus.
Guna cengkerang siput sebagai umpan
Pada mulanya, umpan yang digunakan olehnya iaitu cengkerang siput akan diangkat satu per satu bagi melihat keadaan sotong yang berada di dalam cengkerang tersebut.
Namun, oleh kerana terlalu lama duduk di dalam cengkerang yang diumpan, kebanyakan sotong yang berjaya ditangkap akan bertindak untuk menyorokkan diri mereka di dalam cengkerang tersebut.
Oleh itu, dia telah menggunakan satu inisiatif bagi mengeluarkan sotong yang dianggap ‘degil’ itu dengan menggunakan air garam yang telah disediakan olehnya.
Tindakan yang dilakukannya itu akhirnya membuahkan hasil apabila sotong yang berada di dalam cengkerang tersebut dilihat perlahan-lahan keluar.
Dalam pada itu, dia turut merasa pelik terhadap sotong yang hanya akan keluar apabila dia menambahkan air garam ke dalam cengkerang itu.
“Saya rasa pelik jugak, sotong ini duduk di air masin tapi sotong ini takut dengan air garam. Kena air garam je dia menggelupur,” katanya yang dipercayai menangkap sotong tersebut di sekitar perairan Port Klang.
Setelah berjaya mengeluarkan sotong-sotong tersebut, dia meletakkan kesemuanya ke dalam sebuah bekas sebelum dibawa pulang.
Cengkerang kumpul sendiri
Pun begitu, ada beberapa sotong yang dilihat masih tidak mahu keluar daripada cengkerang tersebut. Jadi, dia menambah kuantiti air garam ke dalam cengkerang lalu dibiarkan sahaja sotong tersebut keluar sendiri daripada cengkerang itu.
“Ada yang bertanya saya, di mana saya beli cengkerang siput ini? Saya tidak membeli cengkerang ini sebaliknya ia tersangkut sewaktu saya menjaring belangkas dengan ketam.
“Jadi, saya ambil dan kumpul sehingga menjadi banyak,” tambahnya.
Dianggap kreatif, ramai netizen yang memuji cara tangkapannya itu kerana kebiasaannya cengkerang tersebut akan dibuang.
Video yang dikongsikan olehnya itu telah mendapat sambutan dengan 62 ribu tontonan serta 2.6 ribu tanda suka.
Selain menangkap sotong, Sazali juga rajin berkongsi tentang pengalaman serta teknik yang digunakan untuk memancing beberapa hidupan laut yang lain di laman Youtube miliknya, malah dia telah meraih sebanyak 351 ribu pengikut di laman laman berkenaan.
Lebih menarik perhatian, dia dilihat sering ditemani oleh isteri tercinta yang turut dikenali sebagai bonda ketika menangkap hasil laut tersebut.
Jom tengok video Sazali di bawah ini.
Sumber: Youtube Sazali Adam Bahar