Kemenangan Morocco ke atas Portugal minggu lalu ternyata merekodkan sejarah tersendiri apabila bergelar pasukan Arab pertama yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia.
Kejayaan Morocco tersebut diraikan oleh sebilangan besar rakyat di negara-negara di sekitar benua Afrika dan teluk Arab termasuk Palestin.
Imbas kembali menurut The Guardian, rakyat Palestin tidak mengira lapisan masyarakat berkumpul di sebuah restoran untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Keadaan bertambah meriah apabila apabila En-Nesyri menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-42 sekali gus meletakkan Morocco mendahului perlawanan meninggalkan Portugal.
“Semoga Tuhan mengekalkan skor ini!” kata seorang hos radio Palestin ketika dia bertugas untuk mengulas perlawanan tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, Morocco mampu mempertahankan kedudukan tersebut sekali gus meyakinkan kemaraan mereka menentang France untuk perlawanan penentuan.
Beralih kepada penyokong Atlas Lions, mereka telah menari kegembiraan di Dataran Arafat dengan hon kereta dibunyikan dan bunga api dimainkan sepanjang malam untuk meraikan kemenangan itu.
Malah, kejadian itu turut berulang di pekan dan kampung di seluruh Tebing Barat dan Semanjung Gaza. Hal ini kerana Atlas Lions bukan sahaja mampu menciptakan rekod dunia malah mengalahkan satu lagi pasukan terbaik Eropah.
“Seluruh Arab berada di belakang mereka. Kami amat berbangga dengan cara mereka mewakili Palestin. Kami tidak berada di Piala Dunia tetapi ia begitu hampir dengan kami,” luah Saha Amir, seorang penyokong Morocco.
Rentetan daripada itu, kemaraan mereka sehingga ke separuh akhir bukan sahaja dilihat sebagai kemenangan negara, tetapi satu kemenangan untuk Afrika dan seluruh dunia Arab khususnya rakyat Palestin.
Sebelum ini, Morocco bertemu dengan Sepanyol dengan kemaraannya hanya ditentukan oleh sepakan penalti (3-0) selepas kedua-duanya beraksi selama 120 minit (90 minit perlawanan + 30 minit masa tambahan) di atas padang.

Untuk pengetahuan umum, Atlas Lions telah mengibarkan bendera Palestin di pentas dunia berbanding bendera mereka (bendera merah dengan lima bucu) demi memperjuangkan hak Palestin.
Tidak hanya itu, kejohanan tersebut turut membuktikan bahawa memisahkan sukan dengan politik adalah sukar, walaupun FIFA telah mengharamkan sepanduk bendera yang bersifat “politik menyinggung perasaan atau diskriminasi.”
Sumber: The Guardian