Siakap Keli
samun bersenjata di kedah
Gambar: BERNAMA

Kes Samun Bersenjata Di Kedah Tumpas, Dua Penjenayah Ditembak Mati – Polis

Kes Samun Bersenjata Di Kedah Tumpas, Dua Penjenayah Ditembak Mati – Polis

ALOR SETAR, 12 Dis (Bernama) — Beberapa siri kes samun bersenjata di Kedah tumpas selepas dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Gurun pada 10 Dis.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata dua lelaki berusia lingkungan 60-an dan 40 an yang menaiki kereta jenis Proton Iswara itu cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan sebelum terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan kereta itu.

Beliau berkata berlaku berbalas tembakan oleh pihak polis untuk mempertahankan diri dan seorang anggota polis terjatuh selepas terkena tembakan yang mengenai ke atas baju kalis peluru dipakainya, namun tidak mengalami kecederaan.

“Jam lebih kurang 11 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang membuat rondaan pemantauan kes samun di sekitar kawasan Sungai Petani, Jeniang, Sik (daerah Kuala Muda) (dan kemudian) telah bertemu kereta yang dalam keadaan mencurigakan.

“Polis cuba menahan kereta ini tetapi tidak berhenti dan kereta itu telah memecut laju dan kita terpaksa kejar dan memintas kereta tersebut, dalam masa kita cuba memintas kereta tersebut, pihak polis telah mengesan tembakan ataupun percikan api dari kereta itu,” katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini hari ini.

Wan Hassan berkata pihak polis turut menjumpai peralatan dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah seperti parang, pemutar skru dan pedang selain dua pucuk pistol jenis revolver .38.

Beliau berkata suspek yang berusia 60-an itu mempunyai 64 rekod jenayah lampau antaranya rekod kes samun, dadah, kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah dan juga dikehendaki polis bersangkut kes samun berkumpulan dan bersenjata manakala lelaki berumur 40-an itu tiada rekod jenayah lampau dikesan.

“Kedua-dua mereka dipercayai bergerak aktif terlibat dalam kes samun bersenjata ini antara Mac dan April tahun ini, dan dua suspek ini dipercayai ada terlibat kes di (bawah) Kontinjen lain yang sedang kita kenal pasti mungkin di Pulau Pinang dan Perlis.

“Jadi, setakat ini dalam 16 ke 20 kes samun yang kita dapat selesaikan ekoran tertumpasnya dua penjenayah ini,” katanya yang turut memberitahu polis percaya terdapat saki baki lagi individu terlibat sama dengan suspek itu dan akan diambil tindakan.

Wan Hassan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana