Baru Nak Makan, Pelanggan Terkejut Temui Jari Manusia Lengkap Berkuku Dalam Sayur Lodeh
Potongan jari manusia yang ditemukan dalam menu sayur lodeh telah mengejutkan dua pelanggan di Kabupaten Belu, Nusa Tenggara Timur yang dibelinya dari sebuah gerai makan baru-baru ini, lapor CNN.
Berdasarkan pemeriksaan doktor, penemuan jari manusia di dalam sayur lodeh itu adalah secebis ibu jari yang masih berkuku.
Ketua Polis Daerah Belu, AKBP Yosep Krisbianto berkata bahawa pihaknya sudah bertanya secara langsung kepada doktor dan mengesahkan bahawa potongan berkenaan adalah jari manusia.
Difahamkan bahawa penemuan jari manusia itu dibeli dari sebuah gerai makan oleh dua orang penduduk di Kampung Manleten, Daerah Tasifeto Timur.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Menurut Ketua Polis Tasifeto Timur, Ipda Mahrim, seorang penduduk bernama Petrus Watu telah melaporkan perkara ini di Balai Polis Tasifeto Timur.
Memetik CNN, semasa mengambil sayur untuk dimakan, Watu terkejut apabila melihat seketul daging seperti jari manusia di dalam sayur lodeh tersebut.
Ekoran daripada itu, Polis Belu Resort bertindak untuk menyiasat penemuan jari manusia dalam sayur lodeh yang dibeli oleh dua orang penduduk tersebut.
“Kami sudah memeriksa beberapa saksi termasuk pemilik gerai yang menjual sayur lodeh itu,” kata Yosep.
Selain daripada pemilik gerai, pasukan penyiasat juga telah memeriksa pemilik kilang tauhu, tetapi masih tiada jawapannya kerana tiada sesiapa yang tahu asal-usul jari manusia tersebut.
Yosep turut berkata bahawa pasukan penyiasat Polis Belu akan meneruskan usaha untuk mengenal pasti pemilik jari yang ditemui dalam sayur lodeh itu.
Sumber: CNN