Dirantai & Digantung, Pihak Masjid Stockholm Kecam Perbuatan Pihak Cuba Hina Al-Quran
Sebuah masjid di Stockholm, Sweden mengutuk serangan terbaru ke atas kemudahannya selepas sebuah Al-Quran ditemui rosak, dirantai dan digantungkan di luar pintu masuk masjid, lapor laman berita AA.
Gambar yang dikongsikan oleh Masjid Pusat Stockholm mengenai perbuatan pada Jumaat lalu telah menunjukkan kitab suci bagi umat Islam yang rosak dirantai dan tergantung pada pagar besi di luar masjid.
Pihak masjid berkata, mereka sering kali menerima ancaman sedemikian.
“Mengikat Al-Quran yang dirosakkan dan menggantungnya pada palang taman di sebelah pintu masjid adalah perbuatan yang keji bagi umat Islam.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
“Masjid kami dan jemaah telah menerima ancaman secara meluas. Pihak yang rasis sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan kami umat Islam yang berbeza dengan mereka,” tulis akaun rasmi masjid tersebut di Facebook mereka.
Sebuah kenyataan berkata, masjid memutuskan untuk berkongsi gambar dan maklumat kejadian untuk menarik perhatian jemaah dan orang ramai bagi mengelakkan jenayah kebencian tular dan menjadi normal.
Selain itu, serangan kejadian tersebut bukanlah yang pertama kali berlaku kepada masjid berkenaan. Sebelum ini, masjid tersebut pernah diserang dengan serangan Islamofobia seperti tulisan yang bersifat anti-Islam ditulis di pintu masjid berkenaan.
Sumber: AA