Siakap Keli
PATI
Kredit: Imigresen Malaysia | Twitter

Imigresen Gagalkan Cubaan Seludup PATI Melalui Klia2, Dua Pegawai Bersubahat Ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket cubaan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 Disember baru-baru ini.

Sindiket tersebut berjaya ditumpaskan menerusi operasi khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya pada jam 7.05 petang hari kejadian.

Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee berkata, hasil daripada maklumat perisikan dan maklumat awam mendapati bahawa terdapat PATI yang telah disenarai hitam akan diurus kemasukan ke Malaysia.

“Modus operandi sindiket adalah ejen akan mengatur kemasukan PATI yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk kepada PATI tersebut dengan upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap PATI.

“PATI kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah. Kemasukan PATI itu juga tidak direkodkan di dalam sistem imigresen oleh pegawai tersebut,” tambah kenyataan itu.

Justeru jelas Khairul Dzaimee, seramai lima individu berumur antara 31 hingga 49 berjaya ditahan iaitu dua orang perempuan warga Indonesia dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen.

Tambah beliau lagi, turut sama ditahan ialah dua pegawai imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut.

Sehubungan itu, kesemua PATI ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat di bawah akta yang sama.

Manakala ejen dan dua pegawai imigresen yang terlibat akan ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Menurutnya lagi, kesemua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala pegawai imigresen terlibat akan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

“JIM akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JIM sendiri.

“Mana-mana orang yang didapati melanggar kesalahan imigresen akan diambil tindakan yang tegas,” maklumnya.

 

Sumber: Imigresen Malaysia | Twitter

Florence Nuar