Kejadian kemalangan ngeri melibatkan lori dan beberapa kenderaan lain di Jalan Gerik-Titiwangsa seperti yang tular baru-baru ini difahamkan berlaku pada 29 Oktober lalu.
Syarikat berkenaan, UAC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, rakaman kejadian tular pada kelmarin dan pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Kami merujuk kepada video dan gambar yang telah tular di media sosial pada 11 Disember (kelmarin) mengenai kemalangan yang berlaku pada 29 Oktober 2022.
“UAC Berhad ingin mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat dalam kemalangan tragis itu.
“Kami amat sedih dan turut berdukacita kepada mangsa yang mengalami keederaan dan yang terkorban. Kami juga rasa kesedihan yang anda tanggung ketika ini,” maklum kenyataan itu hari ini.
Mengulas lanjut, UAC menambah pihaknya sedang menghubungi keluarga mangsa yang terjejas dan sedia bekerjasama bersama pihak siasatan.
“Kami juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menyiasat kemalangan itu dan akan menyokong tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Pada masa yang sama kami sedang menjalankan semakan dalaman mengenai kemalangan dahsyat itu.
“Ia satu kes yang luar biasa dalam sejarah 60 tahun penubuhan kami,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu UAC menegaskan pihaknya akan melakukan tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden berkenaan tidak terjadi lagi pada masa akan datang.
“Yakinlah, kami sedang mengetatkan lagi garis panduan dan prosedur operasi serta mengambil berat cadangan daripada pihak berkuasa untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang lagi,” maklum kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kemalangan ngeri tersebut.
Loke dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan segera tanpa sebarang kompromi.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya.
“Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut.
“Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.
https://www.facebook.com/uacberhad/posts/pfbid0oAgKriCFYpprRy3v5q1LTRJH3qWjVCzMp4NrPhmi57UXvZhy9DLhv5PB1QADoNXNl
Sumber: UAC Berhad