Siakap Keli
Kepala khinzir
Kredit: Daily Mail

Kepala Khinzir Atas Bumbung Masjid, Disyaki Jenayah Kebencian Islamofobia

Masyarakat Muslim di Heatons, Stockport di UK dikejutkan dengan penemuan satu kepala khinzir yang diletakkan di atas bumbung sebuah masjid di bandar tersebut dalam kejadian 9 Disember baru-baru ini, lapor Daily Mail.

Mereka menjumpai kepala haiwan tersebut selepas menghadiri perhimpunan di bangunan pusat komuniti Muslim, Heaton Muslim Community Trust (HMCT) di Battersea Road, Heaton Mersey sekitar 9:15 malam hari kejadian.

Wakil HMCT, Muhammad Tayyab Mohiuddin berkata, kejadian tersebut telah menimbulkan rasa takut dan risau dalam kalangan pengunjung pusat itu, termasuk kanak-kanak dan warga emas dan berkata ia disyaki berkait dengan jenayah kebencian.

“Pada waktu petang, kami mengadakan perhimpunan di pusat komuniti dan beberapa orang keluar dan mengatakan ‘ada kepala khinzir di atas bumbung’.

“Bumbungnya rendah jadi mudah dilihat. Saya fikir mereka telah menyasarkan di situ untuk menakutkan orang ramai. Semua orang tahu seseorang telah meletakkannya di situ dan apa niat mereka,” kata Mohiuddin.

Gambar: MEN Media via Daily Mail

Mohiuddin menjelaskan, perkara tersebut dipercayai mustahil dilakukan oleh orang Islam sendiri berikutan ajaran agama yang melarang umatnya memakan atau menyentuh haiwan berkenaan.

“Dalam agama kita, kita tidak dibenarkan makan daging khinzir atau mengendalikannya dengan cara apa sekalipun, jadi seseorang yang melakukannya memang jelas atas ‘sebab itu’.

“Ramai orang tua dan kanak-kanak yang menggunakan pusat komuniti itu dan jelas mereka ketakutan bahawa seseorang telah menyasarkan kami (bangunan).

“Malah kami takut seseorang boleh melakukan perkara yang lebih serius pada masa akan datang,” tambahnya.

Justeru, Mohiuddin telah mengambil langkah selamat dengan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

“Kami telah diberitahu bahawa ia direkodkan sebagai jenayah kebencian,” katanya lanjut.

Sementara itu jurucakap Polis Greater Manchester (GMP) mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku di masjid di Battersea Road, Stockport pada malam Jumaat hari (9 Disember).

Bagaimanapun difahamkan punca atau apa-apa berkaitan kejadian masih dalam siasatan.

Difahamkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta berhenti dan dua orang keluar di mana salah seorang daripada mereka membawa ‘barang’ yang kelihatan seperti beg sampah.

Namun dalam masa sama, nombor plat kenderaan dinaiki suspek terbabit sempat dirakam menerusi lensa dashcam kereta salah seorang individu di lokasi kejadian.

Menurut Daily Mail, pusat komuniti yang telah berkhidmat selama lebih sedekad kepada penduduk Islam di Heatons itu tidak mengalami banyak isu selain dua kes pecah masuk di mana TV dan peti derma dicuri sebelum ini.

Serangan bermotif kebencian

Gambar: MEN Media via Daily Mail

Sementara itu HMCT dalam satu kenyataan berkata, kepala khinzir yang diletakkan di atas bumbung masjid dilihat seperti jenayah kebencian. Malangnya, tingkah laku itu bukan kali pertama terjadi.

Dalam data tinjauan oleh Muslim Census and MEND (Muslim Engagement and Development) yang dikeluarkan awal tahun ini, hampir separuh (42 peratus) masjid atau institusi Islam yang diselidik mengalami serangan bermotifkan agama dalam tempoh tiga tahun lepas.

“17 peratus masjid daripada 42 peratus dilaporkan menghadapi serangan fizikal yang ditujukan kepada kakitangan atau jemaah, termasuk kejadian bilal (orang yang melaungkan azan) ditikam pada 2020,” tambah kenyataan itu.

Oleh itu, pihak HMCT telah meminta penduduk tempatan dan jemaah untuk terus berwaspada dan melaporkan sebarang isu yang melibatkan jenayah kebencian kepada pihak polis.

Sumber: Daily Mail

Florence Nuar