Misteri Bau Busuk Terbongkar, Mayat Lelaki Warga Nigeria Ditemui Terbaring Dalam Bilik
Mayat seorang lelaki warga Afrika ditemui dalam sebuah rumah di Taman Serdang akhirnya menjawab persoalan penduduk berkenaan bau busuk yang misteri, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mangsa yang juga merupakan bekas penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dipercayai sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya sejak empat hari lalu.
“Siasatan awal telah di jalankan dan di dapati mangsa merupakan warga Nigeria berumur lingkungan 31 tahun yang merupakan bekas pelajar UPM, Serdang dan telah tamat belajar pada tahun 2017.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
“Mangsa tinggal bersendirian di alamat berkenaan dan tiada maklumat berkenaan dirinya selepas mangsa tamat belajar di UPM,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Menurut Anbalagan lagi, mangsa juga dipercayai menghidap pelbagai penyakit berikutan penemuan pelbagai jenis ubat-ubatan di atas namanya ditemui di dalam bilik tidur mangsa.
Mangsa dikatakan telah dilihat buat kali terakhir pada 5 Disember lalu oleh seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam.
“Patologi Hospital Serdang mengatakan tempoh kematian dalam empat hari manakala pemeriksaan pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan pasukan perubatan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” jelas Anbalagan.
Sumber: Sinar Harian