Siakap Keli
Gambar: Vietnam Posts English

Padah Eksport Susu Strawberi Dan Kopi Ke Korea Utara, Lelaki Singapura Dijatuhi Hukuman Penjara

Padah Eksport Susu Strawberi Dan Kopi Ke Korea Utara, Lelaki Singapura Dijatuhi Hukuman Penjara

Seorang lelaki warga Singapura telah dikenakan hukuman penjara gara-gara mengeksport minuman susu strawberi dan kopi yang bernilai hampir 1 juta dolar Singapura (RM3.26 juta) kepada Korea Utara, lapor NDTV.

Hukuman tersebut dijatuhkan berikutan melanggar sekatan perdagangan dari negara berkenaan termasuk mengeksport minuman keras dan minyak wangi ke Pyongyang.

Korea Utara telah dikenakan sekatan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Manakala Singapura pula menggantung hubungan perdagangan dengan Korea Utara pada 2017.

Tertuduh yang merupakan seorang bekas pengurus di sebuah syarikat minuman, telah dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu pada Isnin selepas mengaku bersalah.

Memetik NDTV, tertuduh mengeksport minuman tersebut dari 2017 hingga 2018 kepada beberapa syarikat Singapura dan mengetahui bahawa ia akan dieksport ke Korea Utara untuk dijual di sana.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Menurut dokumen mahkamah, dia tidak memperoleh sebarang komisen daripada jualan itu, tetapi ia membolehkannya mencapai sasaran jualan bulanannya.

Berdasarkan dokumen tersebut, pada 2014, seorang pelanggan telah memperkenalkan tertuduh dengan individu dikenali sebagai Mr Kim, seorang pekerja yang bekerja di Kedutaan Korea Utara di Singapura sebelum diperkenalkan kepada pekerja lain di kedutaan itu.

Maksimum hukuman bagi mengeksport barangan dari Singapura ke Korea Utara ialah denda sebanyak 100,000 dolar Singapura (RM330,000) atau tiga kali ganda nilai barangan yang dieksport, atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa kes syarikat dan individu dari Singapura, hub perdagangan utama serta pusat kewangan telah didakwa kerana mengeksport barangan larangan ke Korea Utara.

Pada awal tahun ini, dua syarikat Singapura telah didakwa kerana mengeksport alkohol dan minuman lain ke Korea Utara.

Pada 2019, mahkamah Singapura telah menjatuhkan hukuman penjara kepada pengarah sebuah firma perdagangan selama hampir tiga tahun kerana mengeksport barangan mewah bernilai 4.4 juta dolar Singapura (RM14.5 juta), termasuk alkohol dan minyak wangi ke Korea Utara.

Pada 2016, sebuah syarikat perkapalan didenda kerana cuba menyeludup senjata dan jet pejuang era Soviet dari Cuba ke Korea Utara.

Sumber: NDTV

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.