Perhilitan Sahkan Video Buaya ‘Lepak’ Tengah Jalan Tulen, Dirakam Di Jalan Air Hitam
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang hari ini telah mengesahkan bahawa video yang tular memaparkan seekor buaya di atas jalan Air Hitam berhampiran Kampung Seri Damai adalah tulen, lapor Sinar Harian.
Pengarah Perhilitan, Rozidan Md Yasin menasihati agar orang ramai khususnya kanak-kanak supaya tidak bermain dan mengharungi air banjir.
“Berikutan musim tengkujuh kini saya menasihatkan kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai dan parit supaya lebih berhati-hati kerana kemungkinan buaya berada di tempat berkenaan.
“Kalau boleh jangan bermain di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi pada hari ini oleh Sinar Harian.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Selain itu, beliau juga turut memberitahu bahawa Sungai Kuantan dan Sungai Belat adalah merupakan habitat atau tempat tinggal bagi haiwan buaya tersebut.
“Saya percaya buaya yang ditemui di atas Jalan Air Hitam mungkin keluar dari Sungai Belat,” kata beliau lagi.
Video yang berdurasi 29 saat itu telah tular di media sosial pada Isnin malam yang lalu. Video tersebut telah dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khad di akaun Facebook beliau.
Menurut Mohammad Rafiq, video tersebut dikatakan telah diperolehinya daripada salah seorang penduduk di kampung berkenaan.
https://www.facebook.com/watch/?v=671204651111039&t=1
Susulan tersebarnya video tersebut, netizen mula meluahkan kebimbangan mereka mengenai kewujudan dan saiz reptilia tersebut. Selain itu, mereka juga sempat mengingatkan penduduk sekitar kawasan berkenaan untuk sentiasa berhati-hati.
Sumber: Sinar Harian