Tengah Malam Cari Nasi, Abang Ni Kena Sakat Dengan Polis, “Bujang Lagi Ke, Ahh Patut Pun”
Seorang pegawai polis menyakat pengguna jalan raya di sekatan jalan raya kerana mencari nasi pada lewat malam.
Sekatan jalan raya merupakan satu situasi yang agak ‘menakutkan’ bagi pengguna jalan raya, walaupun ketika itu kita tahu kita tidak melakukan apa-apa kesalahan dan memiliki semua dokumen memandu yang masih belum tamat tempoh.
Jika pengguna jalan raya yang memiliki rekod bersih pun boleh rasa cuak, inikan pula yang jenis banyak ragam semasa berada di jalan raya.
Rata-rata, ramai yang kecut perut semasa melalui sekatan ini, berkemungkinan aura yang dimiliki oleh polis ini amat menggentarkan jiwa.
Namun, ada satu rakaman dashcam yang menunjukkan seorang pegawai polis bersikap agak bersahaja ketika menjalankan tugasnya di sebuah sekatan jalan raya.
Dalam sebuah video yang berdurasi selama 19 saat yang menjadi tular, ia menunjukkan sebuah kenderaan yang dipandu seorang pemuda ditahan oleh polis berkenaan.
Ketika itu, terjadi satu perbualan yang ringkas namun agak lucu dan mencuri tumpuan netizen selepas video berkenaan diviralkan.
”Pergi mana ni?” tanya polis berkenaan.
Pemuda tersebut kemudian menjawab bahawa dia keluar kerana mahu mencari nasi.
“Lambat kau makan hari ini,” jawab polis berkenaa kerana keadaan ketika itu sudahpun lewat malam. Pemandu berkenaan kemudian menjawab bahawa dia baru sahaja terbangun dari tidur dan berasa lapar.
“Ah kau ni, bujang lagi ke?” balas polis berkenaan sebelum diakui oleh pemuda tersebut bahawa dirinya masih belum berkahwin.
“Aah patut pun,” jawab polis berkenaan secara ringkas. Pemandu berkenaan kemudian dibenarkan beredar.
"Lambat kau makan hari ni "
"bujang lagi ke"
"ah patut pun"
😂 pic.twitter.com/lcf7mn4LyC— MALAYSIA MOST VIRALL (@MALAYSIAVIRALL) December 12, 2022
Interaksi antara mereka berdua berakhir dengan ucapan salam dan setelah tingkap kereta ditutup, kedengaran bunyi ketawa kecil daripada pemuda tersebut.
Secara umumnya, tindakan anggota polis tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan situasi tegang dan perasaan gementar pengguna jalan raya ketika melalui sekatan jalan.
BACA: Polis Lancar ‘Roadblock’ 24 Jam Di Lokasi-lokasi Strategik Seluruh Negara
Kredit: @MALAYSIAVIRALL via Twitter