Tentera China & India Bertempur Di Sempadan Pergunungan Arunachal Pradesh, Beberapa Anggota Cedera
Kerjaaan India mendakwa bahawa pasukan tenteranya telah bertempur dengan tentera China di sepanjang sempadan kawasan pertikaian, lapor BBC.
Menurut India, pertempuran tersebut merupakan yang pertama kali berlaku dalam tempoh lebih setahun.
Negara China dan India telah berusaha untuk meredakan ketegangan sejak pertempuran besar terakhir kali pada tahun 2020 yang membabitkan 24 orang tentera terbunuh.
Namun, tentera India berkata pada Isnin lalu bahawa ketegangan tersebut telah tercetus semula dan melibatkan kawasan di sektor Tawang di negeri Arunachal Pradesh pada Jumaat lepas.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Beberapa anggota askar dari kedua-dua negara tersebut dilaporkan telah mengalami kecederaan ringan. Berdasarkan laporan daripada tentera India, mereka berkata sekurang-kurangnya enam tentera India telah tercedera.
Negara China setakat ini masih belum mengulas lanjut berkenaan pertempuran tersebut.
“Tentera daripada kedua-dua negara segera keluar dari kawasan pertempuran itu,” kata tentera India.
Ia menambah bahawa komander dari kedua-dua pihak telah mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat sejurus selepas pertempuran tersebut bagi “memulihkan keamanan dan ketenteraman”.
Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh pada hari Selasa telah memberitahu bahawa tiada askar India telah “terluka atau cedera parah” dalam pertempuran itu dan menyatakan bahawa insiden tersebut telah “diatasi dengan cara diplomatik”.
“Keputusan yang dibuat tepat pada masanya oleh komander tentera India, askar PLA akhirnya telah kembali ke kedudukan asal mereka,” kata Rajnath Singh lagi.
Pada bulan September lalu, kedua-dua negara telah bersetuju untuk tidak memasuki kawasan yang menjadi pertikaian di sepanjang kawasan sempadan terpecil Himalaya barat, dengan kedua-dua pihak mengundurkan tentera mereka.
Sumber: BBC