Nak Tingkatkan Kadar Kelahiran, Kerajaan Jepun Umum Imbuhan RM16,000 Jika Lahirkan Anak
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW) dilaporkan mengumumkan pemberian wang tambahan kepada ibu bapa yang bakal mempunyai bayi baharu dalam keluarga, lapor Japan Today.
Kerajaan Jepun kini sedang bergelut dalam mencari jalan untuk meningkatkan kadar kelahiran yang rendah di negara tersebut. Justeru pengumuman imbuhan itu adalah bertujuan untuk menggalakkan rakyatnya menambah bilangan anak mereka.
Pada masa ini, ibu bapa baharu di Jepun menerima Geran Bersalin dan Penjagaan Anak sebanyak RM 13,645 selepas kelahiran anak mereka. Namun, Menteri Kesihatan negara itu dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida telah membincangkan cadangan untuk meningkatkan jumlah bayaran itu kepada RM 16,000.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Cadangan itu juga dijangkakan akan diluluskan dan berkuat kuasa untuk tahun fiskal 2023, bermula pada musim bunga nanti.
Walau bagaimanapun, dengan peningkatan jumlah geran itu ianya masih tidak cukup untuk meningkatkan motivasi rakyatnya dalam menambah bilangan anak.
Walaupun ianya dipanggil sebagai geran dan dibiayai melalui sistem insurans perubatan awam Jepun, perbelanjaan bagi melahirkan bayi dibayar guna duit poket rakyat.
Menurut Mainichi Shimbun, purata kos melahirkan bayi di seluruh negara Jepun adalah bernilai sebanyak RM 15,000.
Walaupun jumlah geran itu dinaikkan, ibu bapa akan melihat secara purata baki bayaran yang tinggal adalah hanya sedikit. Jumlah itu tidak akan mencukupi untuk kos membesarkan anak sehingga dewasa.
Isu utamanya ialah keupayaan mereka untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi bagi menyara keluarga mereka sambil perlu mengekalkan keseimbangan yang bahagia dan memuaskan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Perkara itu adalah antara faktor penyumbang yang besar kepada kadar kelahiran yang rendah di negara tersebut.
Sumber: Japan Today