Tandukan gol kemenangan pemain Morocco, Youssef En-Nesyri pada aksi suku akhir menentang Portugal di Piala Dunia baru-baru ini berjaya memintas rekod Cristiano Ronaldo pada 2019 lalu, lapor Daily Mail.
Difahamkan En-Nesyri membuat lompatan tinggi setinggi 2.78 meter untuk menanduk gol tunggal dalam perlawanan tersebut sekaligus melayakkan Morocco untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Namun siapa sangka, lompatan tinggi tersebut sekali gus memintas rekod terdahulu dimiliki Ronaldo sewaktu membantu Juventus menentang Sampdoria pada tahun 2019 lalu dengan catatan 2.5 meter.
Malah, penyerang Morocco yang dikatakan mempunyai ketinggian sama dengan Cristiano Ronaldo (187 cm) itu turut melompat lebih tinggi daripada Diogo Costa (penjaga gol) dan Ruben Dias (pertahanan) untuk menanduk bola tersebut.
Bagaimanapun pencapaian En-Nesyri itu masih belum mampu memintas rekod Ronaldo sewaktu Real Madrid menentang Manchester United dalam siangan Liga Juara-Juara 12/13 dahulu dengan catatan setinggi 2.9 meter.
Imbas kembali, gol tersebut terhasil susulan daripada hantaran silang Yahia Attiyat-Allah dari sebelah kiri padang.
Kemenangan tersebut secara tidak langsung telah menjadikan Morocco sebagai negara Afrika-Arab yang pertama mara sehingga ke peringkat itu.

Akibatnya, En-Nesyri telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Morocco dan memberikan kejutan terbesar dalam kejohanan Piala Dunia Qatar apabila berjaya menumbangkan gergasi Eropah seperti Portugal.
Ketua jurulatih, Walid Regragui ketika itu berkata, “Saya sentiasa percaya pada Youssef. Malah, ada wartawan yang mengkritik saya apabila saya mempertahankannya tetapi dia ada di sini.
“Saya menerima kritikan itu dan mengatakan kepadanya bahawa dia pemain terbaik. Dia adalah penjaring terbanyak dalam sejarah untuk Morocco di Piala Dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, dia sentiasa percaya akan kemampuan tenaga En-Nesyri di atas padang, itulah sebabnya pemain tersebut dipilih bermain untuk kelab Sevilla.
“Dia seperti Giroud dalam Perancis, dia bekerja keras untuk pasukannya yang kadang-kadang dikritik. Dia dari Morocco, berlatih di Morocco dan dia pemain penting.
“Saya sangat bangga dengan dia. Jaringan kemenangannya adalah petanda baik untuk pasukan ini,” kata Walid.
Morocco bakal berdepan dengan Perancis pada peringkat separuh akhir yang dijadualkan akan berlangsung pada 3 pagi esok waktu Malaysia.
Dalam masa sama, gergasi Amerika Selatan, Argentina bakal berentap dengan Croatia dalam perlawanan separuh akhir yang akan bermula pada 3 pagi ini.
Sumber: Daily Mail