Sering Jerit “Gol” Tengah Pagi, Jiran Nekad Tulis Surat Mohon Perlahankan Suara
Demam Piala Dunia kini bakal berada di penghujungnya, ramai peminat yang tidak tidur malam semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 secara langsung dari Qatar melalui televisyen.
Terdapat juga segelintir individu yang sanggup pergi ke restoran untuk menonton perlawanan itu bersama rakan-rakan walaupun perlawanan itu bermula dari pukul 3 pagi hingga 5 pagi.
Apabila pasukan kegemarannya berjaya menjaringkan gol, ramai yang bersorak dan menjerit ‘gol’ sehingga mengganggu ketenteraman jiran tetangga.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Buktinya, seorang penduduk telah menampal notis di blok perumahannya di Singapura untuk memaklumkan kepada penghuni bahawa perbuatan mereka yang menjerit semasa menyaksikan Piala Dunia itu membuatkan orang lain terjaga pada waktu malam.
Disebabkan jeritan tersebut, individu yang terganggu itu menulis nota kepada jirannya, lapor Mothership.
“Kepada jiran kami di #09-09, Saya tahu sekarang adalah musim Piala Dunia dan ia akan berakhir tidak lama lagi. Tetapi saya harap kamu boleh memberi kerjasama untuk perlahankan suara dan jeritan kamu apabila perlawanan bermula pada pukul 3 pagi.
“Argentina menang 3 gol menentang Croatia dan kamu menjerit 3 kali. Kami perlu bekerja pada keesokan harinya. Kami mohon jasa baik anda dan terima kasih banyak. Harap Argentina akan memenangi Piala Dunia. Daripada jiran-jiran anda,” tulis dalam nota itu.
Terdahulu, Argentina berjaya menewaskan Croatia 3-0 pada pusingan separuh akhir sekali gus melayakkan mereka untuk mara ke pusingan akhir.
Pasukan Argentina mendahului pada minit ke-34 selepas Lionel Messi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Argentina dijadualkan akan ke aksi final Piala Dunia menentang Perancis pada Ahad, 18 Disember pada pukul 11 malam nanti.
Sumber: Mothership