Siakap Keli
Gambar: Diriye Amey Via Creative Commons

Tiga Dilapor Maut & 17 Cedera Parah Dalam Insiden Ombak Besar Di Pantai Afrika

Tiga Dilapor Maut & 17 Cedera Parah Dalam Insiden Ombak Besar Di Pantai Afrika

JOHANNESBURG – Tiga mangsa dilapor maut serta 17 lagi cedera parah susulan insiden ombak besar yang melanda sebuah pantai di bandar tenggara Durban, Afrika Selatan pada Sabtu.

Memetik laporan VOA News, insiden itu berlaku sekitar jam 5 petang di Bay of Plenty, yang merupakan salah satu pantai popular di bandar ketiga terbesar di Afrika Selatan itu.

Menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan wilayah Kwazulu-Natal, Robert McKenzie, seorang daripada mangsa maut adalah kanak-kanak berusia sekitar tujuh atau lapan tahun manakala individu yang mengalami kecederaan kini berada dalam keadaan serius atau kritikal.

“Terdapat ombak besar yang menghanyutkan beberapa individu ke dalam laut, tiga mangsa lemas manakala 17 orang telah dibawa ke hospital,” kata pihaknya.

Bagaimanapun, satu kenyataan daripada pihak berkuasa Durban telah memaklumkan bahawa mangsa lain yang maut turut melibatkan seorang remaja.

Difahamkan, penyelamat pantai dan pasukan perubatan turut terlibat dalam operasi menyelamat yang melibatkan lebih 100 mangsa dalam insiden tersebut.

Sebelum ini, Durban telah membuka semula kawasan pantai secara berperingkat selepas ia dilaporkan ditutup akibat pengesanan tahap E.coli yang tinggi dari sistem pembetungan di bandar tersebut yang dipercayai rosak teruk akibat banjir besar awal tahun ini.

Banjir besar itu telah meragut lebih 400 nyawa pada bulan April yang lalu.

Sumber: VOA News, DW News

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.