Kebanyakan kita yang bekerja, mesti mempunyai pelan kewangan sendiri demi masa hadapan. Terutamanya bagi mereka yang perlu menanggung keluarga, simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibarat satu ‘kewajipan’ bagi melindungi diri sendiri dan waris pada saat gawat.
Sekiranya pencarum meninggal dunia, wang simpanan ini akan diserahkan kepada waris mereka bagi menyelesaikan urusan-urusan seperti pembayaran hutang si mati dan menyara kehidupan waris yang ditinggalkan. Pun begitu, ada masanya simpanan ini menjadi ‘rebutan’ ahli keluarga selain pewaris perlu melalui proses yang rumit untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir harta berkenaan.
Jadi, bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pencarum sebaiknya meletakkan penama yang jujur dan bertanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk menguruskan simpanan yang ditinggalkan sekiranya kematian berlaku.
Siapa yang boleh jadi penama?
Sebenarnya, anda boleh menamakan sesiapa sahaja yang dipercayai untuk menjadi penama, asalkan individu tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Pertama, bagi mereka yang beragama Islam, pencarum perlu menamakan mana-mana individu sebagai wasi atau pentadbir yang berkeupayaan dalam menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang-Undang Islam.
Bagi mereka yang bukan Islam pula, anda boleh melantik mana-mana individu sebagai benefisiari yang berhak menerima simpanan ahli.
Selain itu, ahli KWSP juga boleh melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama di mana ARB akan menguruskan harta tersebut 100 peratus.
Perlu ke letak penama?
Sekiranya anda tidak meletakkan penama terhadap simpanan KWSP anda, waris akan menghadapi kesukaran sekiranya anda meninggal dunia. Waris perlu mendapatkan surat kuasa untuk mentadbir wang simpanan yang ditinggalkan biarpun secara hakikinya mereka mempunyai hak ke atas harta tersebut.
Proses itu pastinya merumitkan terutama bagi mereka yang kurang biasa dengan prosedur rasmi. Waris perlu memohon surat kuasa melalui proses mahkamah sama ada melalui Amanah Raya atau pelantikan peguam. Sekiranya dokumen tidak lengkap, proses tersebut akan memakan masa sekaligus melambatkan urusan pembayaran hutang si mati dan pembahagian harta bagi waris meneruskan hidup.
Bayangkan jika anda tinggalkan anak-anak yang masih di usia remaja dan tidak tahu tentang prosedur ini, pasti ia akan membebankan mereka. Sudahlah baru kehilangan orang tersayang, terbeban pula dengan masalah kewangan. Lebih teruk andai ada pihak berkepentingan yang cuba mengambil kesempatan ke atas kenaifan mereka.
Bukan itu sahaja, ahli keluarga juga mungkin tertekan apabila terpaksa berhadapan dengan pemiutang, namun tidak dapat menjelaskan hutang si mati. Apalah guna jika wang simpanan mencecah ratusan ribu, tetapi waris nak keluarkan untuk membayar hutang si mati pun susah sehingga perlu naik turun mahkamah.
Sebab itulah pentingnya ahli meletakkan penama yang jujur sebagai pemegang amanah untuk memastikan masa depan yang terjamin buat mereka yang ditinggalkan.
Bagaimana nak buat penamaan?
Senang sahaja, untuk membuat penamaan ahli perlu melengkapkan borang KWSP 4 dan menghantarnya ke cawangan KWSP berdekatan. Dokumen lain yang diperlukan ialah salinan kad pengenalan ahli dan salinan dokumen pengenalan diri bagi penama, termasuk passport untuk penama bukan warganegara.
Borang KWSP 4 juga tersedia secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP. Hanya ikut langkah-langkah mudah di bawah.
- Log masuk ke i-Akaun
- Pilih daftar penamaan
- Masukkan maklumat penamaan
- Hantar permohonan. Ahli akan menerima mesej untuk menghadiri ke pejabat KWSP dalam tempoh 90 hari dari tarikh pendaftaran.
- Ahli perlu menjalani pengecaman cap ibu jari di KWSP
- Penamaan berkuatkuasa.
Mudah, kan?
Proses yang dibuat secara dalam talian ini boleh mengelakkan timbulnya sebarang masalah besar dan pergaduhan disebabkan harta yang mungkin terjadi selepas anda meninggal dunia nanti. Jadi jangan lupa, buat penamaan anda sedari sekarang.
Ketahui lebih lanjut dengan melayari www.kwsp.gov.my