Siakap Keli
'Hidupkan' Virus Purba
Gambar: Unsplash

Saintis Rusia Cuba ‘Hidupkan’ Virus Purba Cetuskan Kebimbangan Pandemik

Saintis Rusia Cuba ‘Hidupkan’ Virus Purba Cetuskan Kebimbangan Pandemik

Sekumpulan Saintis Rusia yang mengkaji virus purba di makmal di Siberia telah mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya satu lagi pandemik.

Pasukan di Pusat Penyelidikan Vektor di bandar Novosibirsk, Siberia sedang berusaha untuk menghidupkan semula virus yang telah tidak aktif selama hampir setengah juta tahun.

Para saintis di Pusat Penyelidikan Virologi Vektor telah memeriksa bangkai haiwan zaman ais yang diawet seperti mammoth dan wooly rhinoceroses, bertujuan untuk mengekstrak dan mengkaji jangkitan yang menyebabkan kematiannya.

Mengkaji haiwan mati dengan virus tidak aktif dianggap berisiko kerana ia boleh mengakibatkan wabak itu berjangkit kepada makhluk hidup.

Profesor Jean-Michel Claverie dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Universiti Aix-Marseille berkata bahawa penyelidikan vektor sangat berisiko.

Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Menurutnya, sistem imun tidak pernah menemui jenis virus ini dan sesetengah daripadanya berusia antara 200,000 sehingga 400,000 tahun.

Pada September 2019, letupan gas telah berlaku di makmal di mana penyakit yang sangat berbahaya termasuk wabak Bubonik, Antraks dan Ebola disimpan.

Memetik Mirror UK, seorang pekerja makmal mengalami kecederaan parah dalam letupan itu.

Selain itu, satu lagi kesilapan di makmal pada tahun 2004 menyebabkan kematian seorang pekerja selepas tidak sengaja menyuntik virus Ebola ke dalam badannya.

Makmal tersebut dikenali sebagai salah satu tempat yang menyimpan virus cacar yang telah dimatikan.

Bagaimanapun, mereka menegaskan bahawa ia dijalankan dengan selamat, tetapi disebabkan komunikasi antara saintis Barat dan pasukan Rusia semakin berkurangan sejak berlakunya peperangan Rusia dan Ukraine, ramai yang semakin bimbang tentang potensi risiko yang diberikan kepada kesihatan awam.

Pakar biosekuriti di King’s College London, Flippa Lentzos, memberi amaran bahawa virus berkenaan boleh merebak meskipun diletakkan di dalam makmal yang paling selamat.

Gambar: Unsplash

Haiwan yang dikaji di Vektor ditemui di wilayah Yakutia, di mana suhu boleh menurun ke paras terendah iaitu -55 darjah celcius.

Tempat tersebut merupakan tapak yang sama di mana saintis Perancis mengenal pasti lebih sedozen virus prasejarah, baru-baru ini.

Satu virus dipanggil Pandoravirus yedoma, yang berasal dari permafros badan mammoth, wooly rhinoceros dan kuda prasejarah.

Virus purba dalam ekosistem yang membeku ini bukan kali pertama ditemui oleh para saintis.

Pada tahun 2014, penyelidik yang sama menemui virus berusia 30,000 tahun yang terperangkap dalam permafros dan mendapati bahawa ia masih aktif dan mampu menjangkiti organisma.

Para saintis telah mencairkannya untuk menilai kesannya terhadap kesihatan awam.

Bagaimanapun, penemuan itu menunjukkan risiko yang sangat nyata dan membimbangkan kepada manusia.

Hal ini kerana apabila permafros mencair, ais akan membebaskan bahan kimia dan mikrob yang terperangkap di dalamnya.

Pada tahun 2016, seorang kanak-kanak meninggal dunia dan puluhan orang dimasukkan ke hospital selepas menghidap wabak antraks di Siberia.

Mereka percaya bahawa jangkitan itu disebabkan oleh gelombang haba yang mencairkan permafros dan sekitar 2,300 bangkai rusa kutub yang telah dijangkiti antraks beberapa dekad lalu.

Sumber: Mirror UK

Noorliyana Ishak