Siakap Keli

Warga Global Dihimpit Rasa Bimbang, Kes COVID-19 Di China Mula Naik Mendadak

Bandar-bandar di China telah merancang untuk meningkatkan kapasiti katil di hospital dan membina klinik-klinik baharu  ketika terdapat kebimbangan mengenai peningkatan penularan virus COVID-19 dalam populasi negara berpenduduk lebih 1 bilion itu.

Ia selepas keputusan mendadak yang diambil oleh pihak berkuasa Beijing untuk melonggarkan langkah pencegahan COVID-19 yang ketat, salah satunya adalah akibat bantahan yang meningkat dalam kalangan warga tempatan.

Keputusan itu bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan bahawa akan berlaku jangkitan yang meluas dalam kalangan penduduk yang sebahagian besarnya tidak divaksinasi sekaligus berisiko menyebabkan antara satu juta dan 2.1 juta kematian.

Apakah situasi pada masa ini?

Pihak berkuasa China kini dilapor telah memperbanyakkan unit-unit rawatan rapi dan membina klinik pemeriksaan demam yang bertujuan untuk menghentikan penularan penyakit di hospital.

Difahamkan, beberapa bandar besar termasuk Beijing, Shanghai, Chengdu dan Wenzhou dilaporkan telah menambah beberapa klinik pada minggu lepas serta menukarkan sebahagian daripada kemudahan sukan kepada klinik.

Selepas sesi tunjuk perasaan terhadap polisi ketat sifar COVID-19 yang diperkenalkan oleh kerajaaan China, pihak berkuasa mengabaikan polisi tersebut dengan tidak lagi mengenakan arahan ‘lockdown‘ dan ujian secara besar-besaran.

Gambar hiasan | Kredit: EPA

Bukan itu sahaja, beberapa pentadbiri di peringkat wilayah juga dilapor turut membenarkan pesakit positif yang tidak mempunyai gejala jangkitan yang serius untuk kembali ke tempat kerja.

Ramalan wabak COVID-19 terhadap penduduk China, khusunya golongan yang tidak divaksinasi

Beberapa pakar telah menganggarkan kira-kira 60 peratus daripada 1.4 bilion penduduk China — sekitar sepuluh peratus daripada populasi global — bakal dijangkiti COVID-19 pada beberapa bulan akan datang. Terdapat kebimbangan bahawa virus tersebut boleh tersebar secara berluasa ketika cuti Tahun Baru Cina pada bulan hadapan, iaitu ketika kebanyakan penduduk China pulang ke kampung halaman.

Kebanyakan daripada penduduk China adalah tidak divaksinasi dan hanya sedikit imuniti hibrid yang diperolehi daripada virus itu sendiri. Berdasarkan rekod, lapan juta penduduk China yang tidak divaksinasi merupakan warga emas yang berusia lebih daripada 80 tahun dan lebih daripada 160 juta penduduknya menghidapi kencing manis.

Hari ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaporkan sebanyak 2,722 kes baharu dalam masa 24 jam sahaja, jika dibandingkan dengan jumlah kes pada sehari sebelumnya iaitu 1,995 kes.

Gambar hiasan | Kredit: BBC

Walau bagaimanapun, hanya terdapat sedikit peningkatan dari segi angka kematian yang dilaporkan iaitu lima kematian sahaja. Ini telah menjadikan angka kematian yang berpunca dari COVID-19 secara keseluruhan adalah 5,242 kes.

Ketika figura tersebut dilihat agak kecil bagi standard global, berkemungkinan angka sebenar adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Hal ini disebabkan, badan kesihatan di China hanya mengira kematian secara langsung disebabkan virus SARS-CoV-2, dan ini tidak termasuk kematian yang disebabkan oleh peningkatan risiko penyakit serius.

Kebimbangan wabak ini terhadap ekonomi China

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata pada Isnin bahawa ketika virus itu merebak, ia berpotensi untuk bermutasi dan boleh “menimbulkan ancaman kepada orang di mana-mana sahaja.”

“Kami telah menyaksikan pelbagai jenis mutasi virus ini dan pastinya satu lagi sebab mengapa kami begitu fokus untuk membantu negara-negara di seluruh dunia untuk menangani COVID” katanya.

Price turut menyatakan kesan ekonomi akibat penularan COVID-19 yang berleluasa terhadap China dan kepada dunia secara keseluruhannya.

“Jumlah jangkitan virus ini menjadi perhatian kepada seluruh dunia, memandangkan saiz KDNK dan ekonomi China,” terang Price dalam sebuah taklimat harian di Jabatan Negara AS.

Gambar hiasan | Kredit: BBC

Dalam pada itu, para pelabur mengalu-alukan peralihan China daripada strategi sifar-COVID sebagai berita baik untuk ekonomi dunia dalam jangka panjang. Walau bagaimanapun, terdapat lebih banyak kebimbangan segera mengenai kesan jangka pendek peningkatan bilangan kes terhadap perdagangan dan industri di negara tersebut dan global.

BACA: Protes Besar-Besaran Rakyat, China Akhirnya ‘Mengalah’ Longgarkan Sekatan Covid-19

Sumber: DW

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma