90 Minit Dipaksa Bertarung, Pemancing Berjaya Naikkan Ikan Patin Seberat 190kg
Seorang pemancing British berjaya mendaratkan ikan patin antara yang terbesar di dunia selepas bertarung lama sebelum berjaya menaikkan ikan raksasa di Thailand tersebut, lapor Daily Mail.
Pemancing yang bernama Dean McEwan, 36 tahun berkata, dia sangat terkejut kerana telah berjaya menangkap ikan patin raksasa tersebut di sungai Mekong.
Ikan raksasa itu telah memberikan ‘pertarungan terhebat’ untuk Dean dan dia mengambil masa selama 90 minit sebelum berjaya menaikkannya ke darat.
Tiga orang lelaki dewasa diperlukan bagi membantu membawa ikan raksasa itu ke dalam pukat besar supaya dapat mengukur saiz dan berat tangkapan tersebut.
Selepas ikan raksasa itu diukur, Dean mendapati ikan tersebut sepanjang 213 sentimeter dan seberat 190 kilogram.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Walaupun tiada rekod rasmi berkenaan tangkapan ikan patin terbesar yang ditangkap oleh pemancing British di Thailand, namun hasil tangkapan yang dibuat oleh Dean sudah pasti menjadikannya ikan yang terbesar pernah ditangkap.
“Kali pertama saya merasakan kekuatan besar ikan ini, sekarang saya faham kenapa ikan ini mendapat gelaran ikan air tawar yang paling sukar ditangkap di dunia.
“Ketika itu adalah waktu tengah hari, sewaktu saya mengalihkan pandangan dari joran untuk seketika, saya terdengar satu bunyi yang kuat pada batang joran saya,” kata Dean.
Menurut Dean, dia dengan pantas mengangkat batang jorannya dan memegang kuat joran berkenaan. Dean yang mempunyai pengalaman dalam menaikkan ikan patin sebelum ini sudah tahu apa yang harus dia lakukan.
“Ia benar-benar menguji stamina saya. Selepas sejam setengah kemudian baru kami berjaya mendaratkan ikan dan biarkan ia berehat seketika,” kata Dean lagi.
Selepas merekodkan berat dan ukurannya, Dean sempat mengambil gambar kenangan bersama ikan raksasa tersebut sebelum melepaskannya semula ke dalam sungai.
Sementara itu, seorang ekspatriat British bernama Tim Webb yang mengusahakan kolam perikanan bersama isterinya berkata bahawa ikan patin itu mungkin yang terbesar dijumpai di Thailand.
Sumber: Daily Mail