Miliki Teknologi Unik, Ketahui Apa Itu Injap Desmodromik & Pneumatik Pada Motosikal Berkuasa Tinggi
Rata-rata penunggang motosikal pasti mempunyai angan-angan untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi yang canggih.
Apabila sudah mendalami dunia permotoran, pasti para pemilik motosikal sudah tidak ambil kisah lagi tentang kos yang perlu dikeluarkan untuk menaik tarafnya.
Jenama Ducati juga sudah semestinya tidak asing kerana jenama yang berasal dari Itali ini merupakan antara jenama yang paling digilai bagi peminat motosikal berkuasa tinggi.
Walaupun harganya jauh lebih mahal daripada beberapa jenama lain, namun ia masih memiliki peminat yang tersendiri kerana Ducati ini menjadi pilihan utama dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Malah, jenama Ducati ini turut mempunyai ciri-ciri teknologi yang canggih seperti penggunaan injap Desmodromik pada keluaran motosikal mereka.
Bercakap mengenainya, seorang Jurutera Simulasi Pakar Aliran Bendalir dan Pemindahan Haba, Dr Aid Fawzal telah berkongsi ilmu mengenai injap Desmodromik dan Injap Pneumatik di halaman Twitter miliknya.
Mari baca perkongsian tersebut di bawah ini.
Jom kenali teknologi injap Desmodromik & Injap Pneumatik.
Orang yang minat kereta mungkin asing dengan kedua-dua teknologi ni. Tapi peminat-peminat motosikal terutama MotoGP tau yang takde pengeluar lain yang berani gunakan teknologi injap Desmo ni kecuali Ducati, juga beberapa team dalam MotoGP gunakan teknologi injap pneumatik.
Injap Desmodromik (Desmo)
Secara ringkas, teknologi injap Desmo ni adalah teknologi yang mengawal bukaan dan tutupan injap dengan menggunakan mekanisme (mechanism) dan bukannya spring.

Dalam teknologi konvensional, operasi valvetrain ni seperti berikut:
• Aci-sesondol (camshaft) akan meggerakkan lengan rocker (rocker arm) untuk menekan penghujung injap lalu membenarkan aliran keluar atau masuk dalam silinder (kita permudahkan dengan tolak tepi shim, bucket, dan lain-lain)
Kemudian injap akan tertutup atau ditutup dengan daya lonjakan spring yang duduk mengelilingi batang injap.
Manakala dalam teknologi injap Desmo, operasi untuk bukaan injap masih sama dengan teknologi konvensional. Namun penutupan injap tidak lagi dibuat oleh spring, sebaliknya ditutup oleh aci-sesondol (camshaft).

Jadinya teknologi injap Desmodromik ni tak ada spring injap (valve spring). Bukaan dan tutupan injap dikawal terus oleh aci-sesondol (camshaft). Ini memberi kelebihan dengan menidakkan kebarangkalian untuk berlakunya masalah ‘valve floating’ & ‘valve bounce’.
Apa tu ‘Valve Floating’ & ‘Valve Bounce’?
‘Valve floating’ (injap terapung) adalah fenomena dimana injap masuk atau injap ekzos tidak atau lambat bersentuhan dengan aci-sesondol (camshaft).
Hal ni berlaku disebabkan kekenyalan spring tak mampu untuk beroperasi dengan baik dalam keadaan putaran enjin yang tinggi (high rpm).
‘Valve bounce’ (injap melantun) adalah fenomena apabila valve terbuka semula setelah menutup disebabkan berlaga antara daya tutupan oleh spring dengan ‘valve seat’. Ia juga boleh berlaku disebabkan resonan.
Kedua-dua fenomena ini membuatkan enjin kehilangan kuasa kerana campuran bahan api yang masuk ke dalam silinder lolos keluar tersia-sia. Letupan juga jadi tidak sempurna disebabkan kebuk pembakaran tidak ditutup rapat.
*Kebanyakan kita mengganggap valve bounce tu macam valve floating & ini TIDAK salah. Ini kerana valve bounce adalah sub-perkara dibawah tajuk valve floating.
Injap Pneumatik
Sama seperti teknologi injap Desmodromik, teknologi injap pneumatik juga dicipta bagi mengurangkan atau menidakkan berlakunya masalah ‘valve floating’ & ‘valve bounce’ sewaktu ‘high rpm’.

Bezanya, spring mekanikal ditukar dengan angin (gas) bagi mengawal bukaan & tutupan injap.
Gas Nitrogen yang digunakan akan disalurkan diantara injap dan aci-sesondol (camshaft) dalam tekanan yang dinamik bergantung kepada putaran enjin. Putaran enjin rendah, tekanan gas rendah, valve senang dibuka. Putaran enjin tinggi, tekanan gas ditinggikan.
Ada satu lagi teknologi kawalan injap terkini dan paling maju; Freevalve yang dikeluarkan oleh Konigsegg. Yang ni kita cerita lain kali eh.
Jom kenali teknologi injap Desmodromik & Injap Pneumatik.
— Aid Fawzal (@AidFawzal) December 20, 2022
Sumber: Aid Fawzal via Twitter