Selepas Argentina Julang Piala, Kakak Ronaldo Anggap Piala Dunia 2022 Paling Teruk Dalam Sejarah
Kakak Cristiano Ronaldo, Katia Aveiro dalam satu hantaran Instagramnya menganggap Piala Dunia 2022 yang diadakan di Qatar sebagai yang paling buruk dalam sejarah.
Aveiro, 45, memuat naik hantaran tersebut selepas perlawanan akhir yang mempertemukan Argentina dan Perancis. Dia bagaimanapun memuji persembahan yang ditampilkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan akhir tersebut.
”Piala Dunia paling teruk sepanjang masa, mujurlah kita dihidangkan dengan final yang menarik. Tahniah Argentina muncul juara,” katanya.
Dia juga tidak melepaskan peluang untuk memuji bintang utama Perancis, Klyian Mbappe yang memenangi Kasut Emas Piala Dunia 2022.
“Kylian Mbappe. Pemain ini sangat tidak masuk akal. Masa depan yang cerah menanti dirinya. Luar biasa,” katanya lagi.
Pujian yang diberikan kepada Mbappe itu memang tepat dengan mengambil kira aksi yang ditampilkannya sepanjang kejohanan termasuk mencatat hatrik di final.
Selain itu, pujian itu juga dibuat mungkin kerana Mbappe mengidolakan adiknya. Rakan sepasukan Mbappe di PSG, Abdou Diallo mendedahkan bahawa pemain bintang itu memang amat mengidolakan Ronaldo dan menganggap pemenang lima kali Ballon d’Or itu sebagai Terbaik Sepanjang Zaman (GOAT).
Aveiro sebelum ini terpaksa menyaksikan impian skuad Portugal yang dipimpin adiknya untuk menjulang trofi teragung dunia bola sepak itu berkecai selepas disingkirkan di peringkat suku akhir kepada Maghribi. Lebih malang, Ronaldo bermula dari bangku simpanan dalam perlawanan tersebut dan hanya dimasukkan di penghujung perlawanan.
Namun begitu, Portugal mempamerkan persembahan yang agak mengecewakan ketika menentang pasukan Afrika tersebut dan meninggalkan banyak soalan mengapa Ronaldo tidak diberikan peluang untuk bermain sejak awal permainan.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuat oleh pengendali Portugal mungkin boleh difahami apabila prestasi Ronaldo sepanjang kejohanan kali ini juga tidak begitu memuaskan apabila hanya mampu menjaringkan satu gol sepanjang tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan.


Sumber: Give Me Sport