Siakap Keli
Kredit: TechNave

Netflix Dilapor Bakal Tamatkan ‘Amalan’ Perkongsian Kata Laluan Bermula 2023

Netflix Dilapor Bakal Tamatkan ‘Amalan’ Perkongsian Kata Laluan Bermula 2023

Netflix, sebuah syarikat perkhidmatan penstrim video yang terbesar di dunia dilapor bakal menamatkan aktiviti perkongsian kata laluan akaun diantara pelanggannya bermula 2023.

Bagaimanapun, keputusan tersebut bakal meletakkan syarikat itu dan pelanggannya dalam situasi yang mencabar. Netflix sebelum ini sudah sekian lama mahu melaksanakan tindakan tersebut, bagaimanapun masih berkira-kira dan mencari kaedah penerapan yang terbaik supaya tidak menjejaskan syarikat dan pelanggan berpindah ke platform penstriman yang lain.

Netflix sebelum ini berdepan dengan masalah pengurangan pelanggan baharu dan salah satunya adalah akibat tindakan perkongsian kata laluan antara pelanggannya. Situasi tersebut turut menjejaskan pendapatan syarikat.

Ketika ini, dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 100 juta pengguna yang melakukan penstriman terhadap platform tersebut melalui perkongsikan kata laluan yang diperolehi menerusi rakan-rakan atau ahli keluarga.

Kredit: Murai.com

Salah satu usaha yang mahu diterapkan oleh Netflix bagi menguntungkan kedua-dua belah pihak adalah pengenalan caj untuk perkongsian kata laluan. Melalui langkah tersebut, Netflix boleh membuat keuntungan dan pada masa yang sama pelanggan boleh berkongsi kata laluan dengan sedikit bayaran.

Selain itu, Netflix juga dalam perancangan untuk melancarkan pelan lebih murah yang mengandungi iklan. Melalui pelan ini, pengguna boleh menikmati semua kandungan yang tersedia di dalam Netflix, namun akan diselitkan dengan iklan-iklan dalam setiap rancangan yang ditonton.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada perubahan-perubahan tersebut akan dilaksanakan serentak di peringkat global atau bermula dengan negara-negara tertentu.

BACA: 20 Tahun Setia Tebar Roti Canai Di Subaidah USM, ‘Ane Basha’ Sebak Nak Tinggalkan Malaysia

Sumber: Bangkok Post

Shafikah