Salah sebuah filem box office dari MONSTA, Mechamato Movie (2022) berjaya mengumpul jumlah kutipan melepasi RM20 juta selama dua minggu tayangan ini.
Menurut hantaran Facebook milik pengasas MONSTA, Nizam Abdul Razak, pencapaian kutipan sebanyak RM22,500,000 selepas dua minggu tayangan ini disifatkan sebagai satu pencapaian yang melegakan disebabkan Mechamato merupakan sebuah jenama yang baharu.
Walau bagaimanapun, Nizam memaklumkan bahawa pihaknya akan menerima keuntungan bersih yang berbeza selepas menolak duti hiburan sebanyak 25 peratus dan kemudiannya dibahagi dua bersama pihak panggung wayang. Secara umumnya, pihak MONSTA hanya akan menerima satu pertiga dari koleksi box office itu sahaja.
”Itupun belum tolak kos pemasaran dan pengedaran,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kos pembikinan siri dan filem animasi Mechamato sebenarnya menelan belanja yang amat tinggi.
“Kos penghasilan animasi sangatlah tinggi. Sebelum ini ada kami maklumkan kos siri dan filem Mechamato Series dan Movie ialah sekitar RM 30 juta.” Nizam menerusi kenyataan di Facebooknya.
Justeru, Nizam dan warga produksi filem mengharapkan agar rakyat Malaysia sentiasa menyokong pihaknya dan menonton Mechamato Movie (2022).
Bukan itu sahaja, beliau juga berharap kepada sesiapa yang sudah menonton filem tersebut agar tidak keberatan untuk menontonnya sekali lagi di pawagam berdekatan.
Rancangan untuk sebarkan sayap Mechamoto Movie ke luar negara
Selain itu, Nizam turut mengatakan terdapat kesukaran untuk menimbal balik modal dan mendapatkan keuntungan, jika bergantung sepenuhnya pada tayangan di pawagam tempatan.
Oleh itu, pihaknya akan fokus untuk mengeksport filem tersebut dan mengadakan tayangan di luar negara bermula pada tahun depan.
“Ya memang sukar untuk balik modal dan untung jika hanya berharap pada tayangan di Malaysia sahaja. Disebabkan itu kami akan berikan fokus kepada eksport dan tayangan diluar negara bermula 2023.”
Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa penghasilan bagi sesebuah karya yang berkualiti, akan memakan kos yang agak tinggi.
Nizam juga mencadangkan terdapat beberapa perkara yang boleh diperhalusi lagi seperti peratusan duti hiburan dan insentif untuk eksport ke luar negara.
“Duti hiburan dibawah kerajaan negeri. Mungkin mana-mana filem yang mempromosikan negeri dan negara dapat diberikan pengecualian atau pengurangan duti hiburan?” cadang Nizam.
Pada akhir kenyataannya, MONSTA akan kekal komited untuk menghasilkan karya berkualiti secara konsisten dan pihaknya memerlukan sokongan dari semua pihak.
Sumber: Nizam Abd Razak via Facebook