Siakap Keli

Penyampaian Bantuan PERKESO Kepada Waris Mangsa Tanah Runtuh Batang Kali

  1. Pertama sekali, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa bencana  tanah runtuh Batang Kali. Sejurus mendapat tahu tentang tragedi ini, saya telah  mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi Kementerian  Sumber Manusia, untuk membuat semakan tentang mangsa-mangsa yang terlibat  jika mereka di bawah perlindungan PERKESO. 
  2. Hari ini, saya berada di rumah waris salah seorang mangsa, iaitu  Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman untuk menziarahi ibu beliau, Puan Siti  Esah Hassan. Semakan yang dibuat oleh PERKESO mendapati Allahyarhamah  Nurul Azwani, 31, adalah pencarum PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial  Pekerja 1969 (Akta 4). Ini melayakkan ibu beliau, Puan Siti Esah, selaku waris  menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan bayaran  berkala Pencen Penakat berjumlah lebih kurang RM238 sebulan. 
  3. Saya difahamkan bahawa Allahyarhamah merupakan anak sulung daripada  tiga beradik. Beliau yang masih bujang, bertanggungjawab menjaga ibunya.  Allahyarhamah Nurul Azwani meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak  perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, yang  berlaku pada awal pagi Jumaat, 16 Disember lalu. Beliau yang bekerja sebagai  pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong, mengikuti  rombongan perkhemahan kerana menemani dua anak majikannya, yang juga guru di  sekolah tersebut. 
  4. Setakat ini, 24 orang termasuk 9 kanak-kanak telah terkorban akibat kejadian  tersebut. Seramai 6 orang telah dikenal pasti oleh PERKESO layak untuk menerima  FPM yang berjumlah RM2,000 dan Pencen Penakat yang dianggarkan sebanyak  RM475 hingga RM2,500 sebulan. Penyerahan faedah kepada waris 5 mangsa yang  lain akan disempurnakan dalam masa terdekat. Pada masa yang sama, PERKESO  juga sedang menyemak jumlah bayaran Pencen Penakat untuk waris setiap mangsa.  
  5. Bagi 3 orang mangsa yang identiti masih belum dikenal pasti oleh pihak  berkuasa, PERKESO akan meneliti bentuk faedah yang layak diterima setelah mereka diisytiharkan meninggal dunia oleh Mahkamah Tinggi, selaras dengan peruntukan  undang-undang berkaitan “orang hilang”.

  1. FPM dan Pencen Penakat yang layak diterima oleh waris mangsa-mangsa  tanah runtuh tersebut adalah faedah di bawah Skim Keilatan, Akta 4. Faedah ini  dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila pencarum yang dilindungi  PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan  pekerjaan. 
  2. Saya serta seluruh warga Kementerian Sumber Manusia bersimpati atas  tragedi tanah runtuh yang telah mengorbankan 24 nyawa setakat ini. Perlindungan  yang diberi oleh PERKESO diharap sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan  yang perlu ditanggung oleh waris dan keluarga yang ditinggalkan oleh pencarum.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.