Siakap Keli
Gambar: APM

Tamat Tabur Bakti Dalam Misi SAR Tanah Runtuh, Tar Diberikan ‘Cuti Rehat’ Selama 3 Hari

Tamat Tabur Bakti Dalam Misi SAR Tanah Runtuh, Tar Diberikan ‘Cuti Rehat’ Selama 3 Hari

Selepas selesai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, seekor anjing pengesan (K9) yang dikenali sebagai Tar dilaporkan telah diberikan cuti rehat selama tiga hari, lapor Sinar Harian.

Menurut Kapten M Rageshwaran, Pegawai Unit K9 APM, Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) mahu memastikan supaya anjing tersebut berada dalam keadaan yang sihat, cukup rehat dan bersiap siaga untuk operasi lain.

“Kita bagi Tar berehat selama tiga hari selepas haiwan itu terlibat dalam operasi SAR kerana mahu Tar sihat serta bersedia untuk terlibat dengan operasi lain,” jelasnya semasa dihubungi pada Jumaat.

Pada 16 Disember lalu, Rageshwaran yang sedang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Pusat (PKOP) Ibu Pejabat APM di Bangi menceritakan bahawa dia telah menerima panggilan kira-kira jam 2.30 pagi dari Pejabat APM Hulu Selangor.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

Beliau kemudiannya terus menghubungi Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) untuk membuat tinjauan awal ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi tersebut, Rageshwaran terdengar suara jeritan mangsa meminta bantuan, lapor Sinar Harian.

Pasukan penyelamat memulakan misi SAR dan berjaya membawa keluar beberapa mangsa ke lokasi yang lebih selamat.

“Keadaan yang berselut mencecah paras lutut dan tanah yang licin menyukarkan pergerakan kami untuk memberi bantuan kepada mangsa, selain bimbang mungkin berlaku siri runtuhan yang lain,” kata Rageshwaran.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa salah seorang mangsa yang terselamat mendakwa anak dan isterinya turut terlibat dalam tragedi itu.

“Kami segera mencari keluarga tersebut serta mangsa lain, Tar juga membantu dalam operasi SAR dan telah memberikan beberapa indikator lokasi mangsa kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan itu pada 16 Disember lalu melibatkan seramai 92 mangsa.

Memetik Sinar Harian lagi, Rageshwaran berkata bahawa beliau telah berkhidmat dalam pengurusan Unit K9 APM sejak empat tahun lalu.

Menurut Rageshwaran, dalam penubuhan unit ini, pihak APM telah berkolaborasi bersama-sama persatuan ‘SAR Dog Malaysia’ pada 14 Februari 2019.

Beliau turut menambah APM mempunyai empat ekor anjing pengesan jenis Doberman, English Springer Spaniels dan Weimaraner campuran serta dua ekor anjing Labrador Retriever.

“Buat masa ini, dua ekor anjing termasuk Tar boleh digerakkan pada bila-bila masa untuk tujuan operasi manakala empat ekor lagi sedang dalam proses latihan untuk ditauliahkan dalam masa terdekat,” kata Rageshwaran.

Anjing yang diiktiraf oleh International Search And Rescue Dog Organisation (IRO) serta United Nation (UN) Search And Rescue Advisory Group (INSARAG) telah dilatih untuk operasi SAR.

Anjing K9 APM ini terlibat dalam operasi SAR yang melibatkan mangsa dalam kejadian tanah runtuh, bangunan runtuh serta mangsa hilang di gua, hutan dan sebagainya.

“Setakat ini, Unit K9 APM diketuai oleh seorang pegawai, tujuh anggota pengendali K9 (handlers) dan  anggota ‘K9 support team members’,” kata Rageshwaran.

Anjing K9 perlu menjalani latihan ‘mission readiness’ bersama-sama dengan pengendali K9.

Menurut Rageshwaran lagi, ia termasuk latihan navigasi dan pengendalian alat ‘electronic tracker’ yang dipakaikan pada anjing K9 ketika operasi bagi memudahkan urusan pencarian serta keberadaan haiwan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.