Siakap Keli
wanita mengandung rompak
Gambar: BERNAMA

Wanita Mengandung Tujuh Bulan Didakwa Cuba Rompak Kedai Emas

Wanita Mengandung Tujuh Bulan Didakwa Cuba Rompak Kedai Emas

MELAKA, 30 Dis (Bernama) — Seorang wanita mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan cuba merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya, baru-baru ini.

Tertuduh, 35, yang menangis semasa pertuduhan dibacakan kepadanya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa cuba merompak Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16, di Kedai Emas Daz Jewellery Mydin Ayer Keroh, pada pukul 4.45 petang, 20 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Illya Shahar memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan sederhana, mengandung dan mempunyai dua anak berusia 5 dan 2 tahun, selain masih menanggung kedua ibu bapa dan seorang adik yang masih belajar di pusat pengajian tinggi.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 10 Feb depan sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.