Siakap Keli
dua beradik rentung di gombak
Gambar: JPBM Selangor

Dua Beradik Rentung Dalam Kebakaran Di Gombak – Bomba

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut ialah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan berusia tujuh tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi dan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat. Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan pintu rumah telah dikunci.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat dua kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya ibu bapa kanak-kanak yang maut dalam kebakaran itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Dua Beradik, Umur 2 & 3 Tahun Rentung Dalam Kebakaran Sebuah Rumah Di Johor

Imbas kembali kejadian Ogos tahun lepas, turut berlaku satu nahas hampir serupa melibatkan kematian dua beradik yang rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Johor.

Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri pada 3 Ogos 2022.

Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang, yang juga Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, berkata kejadian pada 1.41 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

Beliau berkata seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip dan tindakan pemadaman susulan dilakukan pihak bomba dengan menggunakan jentera fire rescue tender.

“Dua mangsa telah ditemukan rentung di ruangan bilik tidur dan kebakaran telah  mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan bilik,” menurutnya dalam kenyataan ketika itu.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.