Siakap Keli
Kredit: VNA/VNS via Vietnam News/AFP/STAR via CNA

Air Disalurkan Tidak Berusik, Usaha Menyelamat Budak Lelaki Jatuh Dalam Lubang Konkrit Masih Diteruskan

Air Disalurkan Tidak Berusik, Usaha Menyelamat Budak Lelaki Jatuh Dalam Lubang Konkrit Masih Diteruskan

VIETNAM – Pihak berkuasa tempatan masih meneruskan usaha untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap dalam lubang paip konkrit sedalam 35 meter di wilayah selatan Dong Thap pada Sabtu lalu.

Memetik laporan AFP, walaupun selepas tiga hari kanak-kanak lelaki itu terperangkap, namun pasukan penyelamat masih belum mengetahui keadaan sebenar kanak-kanak itu sama ada dia masih hidup ataupun sebaliknya.

Kira-kira 100 askar dengan peralatan profesional telah dikerahkan di tapak lokasi tersebut, yang telah ditutup kepada orang ramai sementara usaha menyelamat diteruskan.

Difahamkan, mangsa bersama tiga lagi kanak-kanak lain telah pergi ke tapak pembinaan jambatan Rọc Sen di Komune Phú Lợi di Daerah Thanh Bình untuk mengumpul besi buruk.

Mangsa kemudiannya dipercayai telah terjatuh ke dalam lubang konkrit selebar 25 sentimeter dan sedalam 35 meter.

Kredit: AFP/STR via CNA

Susulan itu, paip logam yang mempunyai lebar sepanjang 19 meter telah diturunkan di sekeliling tiub konkrit untuk membolehkan pasukan penyelamat mengeluarkan lumpur dari sekeliling tiang sebelum cuba mengangkat mangsa keluar.

Malah, pasukan penyelamat juga berusaha melembutkan tanah dan mengeluarkan lumpur dan air bagi mengurangkan tekanan di sekeliling tiang.

Silinder oksigen dan air turut dibawa ke tempat kejadian untuk membantu kanak-kanak itu bernafas, namun sehingga pagi Ahad tiada sebarang tanda yang dilihat bahawa air itu telah digunakan.

Kredit: VNA/VNS via Vietnam News

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Wilayah Dong Thap, Doan Tan Buu, kanak-kanak lelaki itu telah terperangkap selama empat hari.

“Kanak-kanak lelaki itu telah terperangkap di dalam tiang kecil itu sejak Sabtu yang lalu, dengan andaian beberapa kecederaan. Harapan untuk dia hidup adalah terhad.

“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu menggunakan langkah dan peralatan di tempat kejadian.

“Kami kemudiannya terpaksa melaporkan dan meminta bantuan daripada peringkat kebangsaan dan pihak yang mempunyai kepakaran,” jelas pihaknya.

Pihaknya turut menambah bahawa dua hari usaha menyelamat setakat ini tidak membuahkan hasil.

Selain itu, Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính turut meminta penglibatan dan kerjasama dari beberapa kementerian untuk mempercepatkan proses menyelamat.

Projek jambatan Rọc Sen telah dilancarkan sekitar enam bulan yang lalu dimana cerucuk konkrit telah ditanam ke dalam tanah, namun ia dilaporkan belum ditutup sepenuhnya.

Sumber: AFP, Vietnam News

Farah Nabilah