Kerajaan Jepun menawarkan insentif sebanyak RM33,600 bagi setiap anak dalam keluarga yang berpindah dari ibu kota, dalam usaha untuk memulihkan kekurangan populasi di seluruh negara, lapor The Guardian.
Pemberian insentif yang akan diperkenalkan pada bulan April itu mempunyai peningkatan dramatik daripada kadar insentif pemindahan sebelumnya iaitu berjumlah sebanyak RM10,000 sahaja.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha rasmi kerajaan untuk memberi nafas baharu kepada kawasan bandar dan meningkatkan populasi di luar bandar yang semakin berkurangan.
Walaupun populasi di Tokyo telah turun buat kali pertama pada tahun lalu namun ia adalah disebabkan oleh sebahagian trend yang dikaitkan dengan pandemik Covid-19.
Oleh itu, penggubal dasar percaya bahawa usaha lebih banyak perlu dilakukan untuk mengurangkan kepadatan penduduk bandar itu, antaranya menggalakkan orang ramai memulakan kehidupan baharu di bahagian yang ‘tidak popular’ yang telah dilanda ‘penuaan’.
Difahamkan insentif berkenaan akan ditawarkan kepada keluarga yang tinggal di 23 kawasan di Tokyo dan juga kawasan perumahan yang berdekatan dengan komuter di Saitama, Chiba dan Kanagawa.
Difahamkan juga, untuk menerima faedah itu, keluarga mesti berpindah ke luar kawasan Tokyo yang lebih besar dan jika berpindah ke wilayah pergunungan yang terletak di sempadan bandar, kemungkinan besar wang berkenaan akan diberikan secara tunai.
Keluarga tersebut juga mesti tinggal di rumah baru mereka selama sekurang-kurangnya lima tahun dengan salah seorangnya mempunyai pekerjaan, dan sekiranya berpindah sebelum lima tahun, mereka perlu memulangkan wang tunai itu.
Justeru kerajaan berharap dengan insentif yang ditawarkan tersebut ia akan memberi galakan kepada keluarga yang mempunyai anak berumur sehingga 18 tahun untuk ‘menghidupkan’ semula wilayah kecil itu.
Dalam pada itu, kerajaan Jepun juga berharap kira-kira 10,000 orang akan berpindah dari Tokyo ke kawasan luar bandar menjelang 2027.
Sumber: The Guardian