Siakap Keli
Kredit: Bernama

20 Orang Saintis & Jurutera Senior China Dilapor Meninggal Dunia, Kurang Sebulan Selepas Sekatan Covid Dilonggarkan

Ramai Jurutera & Saintis Di China Dilaporkan Meninggal Dunia, Dalam Masa Sebulan Sahaja

Lebih ramai jurutera dan saintis senior di China dilapor meninggal dunia dalam tempoh kurang dari sebulan selepas polisi sifar Covid-19 dilonggarkan kerajaan, berbanding jumlah kematian yang biasa direkodkan dalam tempoh setahun sebelum ini, menurut sebuah badan komuniti saintifik tempatan.

Akademi Kejuruteraan China berkata, seramai 20 orang ahlinya meninggal dunia dalam tempoh 15 Disember 2022 hingga 4 Januri lepas.

Jumlah berkenaan agak membimbangkan jika dibandingkan dengan jumlah purata kematian iaitu sebanyak 16 kematian antara tahun 2017 sehingga 2021. Tambahan pula, hanya 13 kematian direkodkan sepanjang tahun 2021.

Untuk makluman, akademi tersebut merupakan salah satu badan kejuruteraan berprestij di China dan memiliki lebih daripada 900 ahli yang terlibat dalam projek-projek mega di negara tersebut.

Ti Tianchu (77) merupakan saintis termuda yang meninggal dunia dalam senarai tersebut. Mendiang merupakan seorang ahli fizik yang memiliki kepakaran dalam jam atom.

Manakala, ahli yang paling tua dalam senarai tersebut adalah Zhang Jinzhe (102), iaitu individu yang bertanggungjawab dalam penubuhan jabatan pembedahan kanak-kanak pertama di China, bertempat di Hospital Universiti Peking pada 1950.

Selain itu, terdapat beberapa kematian ahli dilaporkan baru-baru ini iaitu, Xu Mi, ketua jurutera bagi program reaktor nuklear di China; Zhao Zisen, individu yang bertanggungjawab dalam pembangunan kabel optik pertama di China; Zhang Guocheng, seorang jurutera pengasas dalam industri nadir bumi China; dan Zhao Yinjun, pemenang hadiah sains dan teknologi negara teratas atas sumbangannya kepada pembangunan senjata laser China.

Pada masa yang sama, pihak akademi tersebut bagaimanapun tidak memberikan maklumat yang terperinci mengenai punca kematian ahli-ahlinya.

Seorang doktor yang bekerja di sebuah hospital besar di Beijing, yang enggan dikenali berkata, biasaya ahli-ahli akademi akan menerima layanan istimewa di hospital setara dengan rawatan perubatan yang dinikmati oleh timbalan menteri dalam kerajaan pusat.

Walau bagaimanapun, dengan peningkatan mendadak kes Covid dan kesesakan hospital kebelakangan ini, ahli-ahli akademik ini dianggap sudah cukup bertuah sekiranya mendapat ruang walaupun di lobi hospital untuk mendapat rawatan.

Secara umumnya, pandemik tersebut turut menyebabkan sumber-sumber dalam sistem kesihatan awam di China menjadi terhad yang melambatkan rawatan penyakit lain, tambahnya.

BACA: Singapura Dilapor Alami Kekurangan Ubat, Warga China Beratur Panjang Beli & Hantar Ke Negara Asal

Sumber: South China Morning Post

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma