Siakap Keli
Kredit: NASA

Dilancarkan Pada Tahun 1984, Satelit Lama NASA Dilapor Bakal Terhempas Ke Bumi

Dilancarkan Pada Tahun 1984, Satelit Lama NASA Dilapor Bakal Terhempas Ke Bumi

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) telah mengesahkan bahawa Satelit Bajet Sinaran Bumi (ERBS) akan terhempas di Bumi selepas hampir empat dekad berada di angkasa lepas.

Memetik laman rasmi NASA, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat meramalkan bahawa satelit seberat 5,400 paun (2,449 kilogram) itu akan memasuki semula atmosfera kira-kira jam 6.40 petang pada Ahad.

Bagaimanapun, NASA telah memberi jaminan bahawa risiko bahaya yang bakal dialami oleh orang awam adalah sangat rendah kerana kebanyakan satelit dijangka akan terbakar semasa ia bergerak melalui atmosfera.

Pun begitu, beberapa komponen dijangka dapat bertahan, malah ia juga boleh menyebabkan kecederaan kepada manusia dengan nisbah kira-kira 1 dalam 9,400.

Difahamkan, satelit itu pada mulanya dilancarkan daripada Space Shuttle Challenger pada 5 Oktober 1984 sebagai sebahagian daripada misi Eksperimen Bajet Sinaran Bumi (ERBE) tiga satelit NASA.

Ia merangkumi tiga instrumen iaitu dua instrumen untuk mengukur bajet tenaga sinaran Bumi manakala satu lagi untuk mengukur ozon stratosfera, wap air, nitrogen dioksida dan aerosol.

Selain itu, walaupun satelit itu dijangka hanya beroperasi selama dua tahun, namun satelit ERBS itu telah melebihi jangka hayat perkhidmatannya sehingga tahun 2005.

Dalam pada itu, NASA menjelaskan bahawa anggaran tenaga dan keseimbangan antara jumlah tenaga daripada Matahari yang diserap atau dipancarkan oleh Bumi merupakan petunjuk yang penting bagi kesihatan iklim, malah ia juga boleh membantu mendedahkan perubahan corak cuaca.

NASA turut menambah bahawa kepekatan ozon di stratosfera memainkan peranan yang penting dalam melindungi hidupan di Bumi daripada merosakkan sinaran ultraungu.

Bukan itu sahaja, pemerhatian yang dilakukan oleh satelit itu turut membantu penyelidik mengukur kesan aktiviti manusia terhadap keseimbangan sinaran Bumi.

Malah, ia turut menyumbang kejayaan bagi misi ERBE dengan sebuah projek termasuk rangkaian instrumen satelit Clouds dan Sistem Tenaga Radiant Bumi (CERES) semasa.

Sumber: NASA

Farah Nabilah