500 Kilometer Perjalanan, Polis Tahan Lelaki Tak Bayar Tambang Teksi
Seorang penganggur berusia 19 tahun ditahan kerana didakwa gagal membayar tambang teksi sebanyak 210,000 yen (RM7,060) selepas menaikinya hampir 500 kilometer dari Yokohama ke Osaka, lapor The Mainichi.
Polis Yodogawa di wilayah Osaka menahan lelaki yang berdaftar sebagai penduduk di Higashiyodogawa tersebut kerana disyaki telah melakukan penipuan.
Suspek yang tinggal di Yokohama dilaporkan telah mengakui dakwaan tersebut dan memberitahu polis bahawa dia menaiki teksi untuk pulang ke Osaka serta merancang untuk melarikan diri tanpa membayar tambang jika ia terlalu mahal.
Lelaki tersebut menaiki teksi di hadapan Stesen JR Yokohawa di Nishi, Yokohama pada November 2022.
Difahamkan, dia turun di Higashiyodogawa, Osaka dan berkata kepada pemandu teksi bahawa dia akan mendapatkan wang daripada ibunya, namun tidak kembali.
Memetik The Mainichi, teksi itu telah memandu sejauh 500 kilometer dengan tambang sebanyak 210,000 yen.
Menurut polis, suspek telah membuat pemandu teksi mempercayainya apabila dia menaiki teksi dengan berkata, “Saya akan meminta ibu bapa saya bayar sebaik tiba.”
Dalam pada itu, teman wanitanya yang berusia 17 tahun juga turut disoal siasat bagi membantu siasatan.
Sumber: The Mainichi