Hampir Separuh Lelaki “Single” Jarang Cuci Cadar – Kajian
Satu kajian di Britain yang melihat kekerapan orang dewasa menukar cadar mereka mendapati bahawa penjagaan kebersihan lelaki bujang lebih teruk daripada wanita, lapor Australia News.
Hampir separuh atau 45 peratus lelaki bujang di United Kingdom (UK) mengakui mereka menunggu sehingga empat bulan untuk mencuci cadar mereka, manakala 12 peratus lagi berkata mereka mencucinya apabila teringat.
Menurut kajian terbaru oleh Biro Statistik Australia, cadar akan ditukar dengan lebih kerap selepas seseorang lelaki menjalinkan hubungan, ini kerana kebanyakan kerja rumah dilakukan oleh golongan wanita.
Pada asalnya, dapatan kajian tersebut dikongsi oleh syarikat peruncit tempat tidur, Pizuna yang menjalankan tinjauan pada April tahun lepas.
Bagaimanapun, baru-baru ini telah diterbitkan semula oleh BBC yang menggesa lelaki bujang untuk membuang tabiat pengotor itu pada tahun 2023.
Memetik Australia News, dapatan kajian ini juga mendapat kritikan daripada ramai wanita di media sosial.
“Mungkin itulah sebabnya mereka bujang,” kata seorang warganet.
Namun, ramai golongan lelaki yang mempertikaikan kajian tersebut dan menganggap ia memalukan mereka, malah ada yang berkata bahawa mereka menunggu lebih lama untuk mencuci cadar.
“Sebenarnya saya menunggu hingga lapan bulan… hanya membalikkannya dan ia (cadar) akan kelihatan seperti baru… menjimatkan air dan elektrik… hanya melakukan yang terbaik untuk planet ini,” komen warganet lain.
Walau bagaimanapun, perkara itu telah menimbulkan kemarahan wanita dengan ada yang menyatakan ia memaparkan isu biasa dalam hubungan heteroseksual.
Selain itu, kajian itu juga mendedahkan wanita menukar cadar mereka lebih kerap dengan 62 peratus membersihkan cadar mereka setiap dua minggu.
Menurut pakar, seseorang individu perlu mencuci cadar setiap minggu kerana sel kulit mati dan minyak badan yang terkumpul boleh menarik hama habuk dengan cepat.
Sumber: Australia News