Patah Kaki Kanan, Murid Tahun Tiga Saman Guru KAFA
KUALA TERENGGANU — Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berdepan saman RM410,000 selepas melakukan perbuatan cuai ke atas murid tahun tiga hingga mengakibatkan tulang tibia atau fibulanya patah pada 6 Julai tahun lalu.
Memetik Sinar Harian, mangsa, Muhammad Izz Anaqi Mohd Izwan yang berumur 10 tahun diwakili ibunya, Nor Azlina Mohd Yasin, 37, sebagai plaintif.
Pihaknya telah memfailkan tuntutan melalui peguam Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Sesyen.
Tambah lagi, Yayasan Islam Terengganu (YIT) turut didakwa sebagai defenden kedua selepas dinamakan pihak plaintif.
Menurut ibu mangsa, guru terbabit (defenden pertama) telah melakukan kesalahan jenayah yang menyalahi undang-undang tort selepas menghempas mangsa ke atas kerusi hingga berlaku kecederaan.
Susulan itu, setelah menjalani rawatan pemulihan, mangsa mengalami tekanan emosi dan mental akibat dimaklumkan bakal mengalami kecacatan kekal berikutan kecederaan yang dialami, lapor Sinar Harian.
Tambah pihak plaintif lagi, defenden kedua juga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai majikan terhadap insiden tersebut.
Oleh itu, pihak plaintif telah menuntut ganti rugi am sebanyak RM410,000.
Tidak cuma itu, pihaknya juga menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, seorang murid lelaki dilaporkan dihempas oleh seorang guru KAFA sehingga patah kaki kanan dalam satu kejadian di daerah Marang.
Lapor Sinar Harian lagi, pada 6 Julai dipercayai hari kejadian, mangsa yang berusia sembilan tahun ketika itu merupakan pelajar sekolah berkenaan.
Kejadian berkenaan hanya disedari selepas mangsa mengadu sakit kepada ibunya sekitar jam 5 petang hari yang sama.
Sumber: Sinar Harian