Siakap Keli
Kredit: Bernama

‘Pertahankan’ Kepimpinan Kim Pan Gon, Kata Peminat

‘Pertahankan’ Kepimpinan Kim Pan Gon, Kata Peminat

Peminat memberikan tumpuan terhadap taktikal dan pemilihan kesebelasan utamanya yang ada kalanya ‘luar biasa’ seperti memainkan pemain tengah Brendan Gan di bahagian pertahanan, namun peminat tetap memberikan sokongan.

Malaysia membuka kempen Piala AFF dengan dua kemenangan ke atas Myanmar dan Laos sebelum tumpas kepada Vietnam dalam perlawanan penuh kontroversi, ketika itu #PertahankanKepimpinanKimPanGon sudah banyak digunakan dan tular di media sosial.

Frasa ‘Pertahankan Kepimpinan Kim Pan Gon’ membawa maksud peminat mengajak semua pihak memberikan sokongan kepada Pan Gon dalam usaha memajukan pasukan negara.

Sokongan diberikan peminat dibalas Pan Gon dan barisan pemain negara apabila Malaysia mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B selepas menyingkirkan musuh tradisi Singapura 4-1 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Kejayaan itu tetap terpalit dengan isu skuad Malaysia A dan Malaysia B dengan pasukan negara ke Piala AFF lebih dirujuk sebagai Malaysia B, namun pemain menolak perbandingan itu dan peminat sekali lagi memberikan sokongan kepada Pan Gon.

Malaysia akhirnya tersingkir daripada Piala AFF apabila tewas agregat 1-3 kepada juara bertahan, Thailand di pentas separuh akhir selepas menang 1-0 di Stadium Nasional, Sabtu lepas, namun tumpas 0-3 di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Selasa lepas.

Sebahagian besar peminat menerima kekalahan itu dengan hati terbuka terutama selepas Pan Gon tampil mempertahankan pemainnya apabila mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan meminta segala kritikan serta kecaman dihalakan kepadanya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, Pan Gon seorang jurulatih yang berusaha mengamalkan sikap profesional pada tahap tertinggi sepanjang masa di padang mahupun luar padang.

Beliau memilih untuk tidak bercakap soal individu barisan pemainnya di hadapan umum, kalah ataupun menang, selain konsisten berterima kasih kepada pemain dan peminat selepas perlawanan.

Dari segi perwatakannya, selain sering tampil optimis, beliau juga mudah tersenyum dan boleh berjenaka apabila pasukan negara mencatat kemenangan dan sugul serta bersikap sukar didekati apabila tewas.

Permintaan peminat supaya kedudukan Pan Gon dipertahankan dilihat berasas berdasarkan komitmen diberikan jurulatih itu.

Secara keseluruhan, Pan Gon mengumpul 11 kemenangan, empat tewas dan dua keputusan seri dalam kesemua pertandingan bersama pasukan negara dengan misi besar selepas ini membentuk skuad terbaik bagi menghadapi Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Qatar pada Januari 2024.

— BERNAMA

BACA: FIFA Pun Puji, Aksi Ultras Malaysia Chant “Sawadikap..Sawadikap” Untuk Pemain Thailand Jadi Viral

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.