Siakap Keli
bapa pukul anak perempuan
Kredit: BERNAMA

Bapa Ditahan Pukul, Ugut Bunuh Anak Perempuan

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mengugut bunuh anak perempuannya berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Lembah Subang, Selangor pada 10.30 malam, Jumaat lepas, setelah pihaknya menerima laporan daripada remaja itu pada 1.18 tengah hari, hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut menggunakan sebilah parang pemotong daging dan memukul mangsa menggunakan tali pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang leka bermain telefon pintar hingga lewat malam selain sifat bapanya yang panas baran.

Fakhrudin berkata polis turut merampas sebilah parang pemotong daging berukuran kira-kira 33 sentimeter.

Suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tukang kasut dituduh bunuh anak perempuan

Imbas kembali laporan Bernama pada 21 Disember tahun lalu, seorang tukang kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh anak sulungnya sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan riadah.

Suspek, 40, didakwa membunuh kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu di sebuah rumah di Jalan Pudu, Dang Wangi pada 9 malam, 9 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 21 Feb tahun ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, pelaku dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke badan teman wanitanya, yang juga warga Indonesia, sehingga menyebabkan mangsa melecur pada punggung kiri.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana