Siakap Keli
lumba haram seorang maut
Kredit: BERNAMA

Lumba Haram: Seorang Maut, Lima Cedera

IPOH, 15 Jan (Bernama) — Seorang penunggang motosikal maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan yang dipercayai berpunca daripada kegiatan lumba haram di KM187.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan awal pagi ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat pada pukul 1.50 pagi tadi berkaitan kemalangan yang melibatkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

Beliau berkata lelaki yang berumur 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang yang lain mengalami pelbagai kecederaan.

“Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan manakala lelaki yang maut dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan beliau selain meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan di talian 057210539 atau 0136200564.

Motosikal bergesel sesama sendiri ketika lumba haram sebelum maut

Imbas kembali kejadian kira-kira empat bulan lalu, dua remaja lelaki dilaporkan maut dalam nahas di Kilometer 111.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan, Sungai Petani selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri ketika berlumba, lapor Awani.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian yang berlaku pada 1 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 16 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sehingga disahkan maut di tempat kejadian.

“Hasil siasatan polis nahas membabitkan empat motosikal di mana semua mereka berlumba dari Sungai Petani menghala ke Butterworth dengan laju sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

“Akibat pergeselan itu motosikal ditunggang mangsa terbabas di tengah lebuh raya dan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi,” kata Zaidy dalam satu kenyataan memetik Awani.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana