Siakap Keli

Program Sarjana Muda Baharu Berasaskan Standard UK Akan Ditawarkan Di Malaysia Mulai September 2023

Semenyih, Selangor, 17 Januari 2023 – Ahli farmasi memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan tahap kesihatan negara mencapai taraf dunia. Antara tugas mereka termasuk mencegah dan merawat penyakit umum, melakukan penilaian perubatan dan rundingan mengenai penyakit kronik yang menjamin penggunaan ubat optimum, memberikan sokongan kepada pesakit dan mengikuti perkembangan terkini tentang penggunaan teknologi dalam bidang penjagaan kesihatan. Ahli-ahli farmasi juga sangat diperlukan untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan sewaktu pandemik COVID-19, lebih-lebih lagi dengan perintah kawalan pergerakan yang menyukarkan pesakit pergi ke kemudahan perubatan. Sejak itu, orang ramai telah menyedari betapa pentingnya ahli farmasi untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti di dalam masyarakat.

Satu laporan mendedahkan bahawa untuk menyediakan prestasi farmaseutikal terbaik kepada penduduk, Malaysia secara idealnya memerlukan seorang ahli farmasi bagi setiap 1,200 orang penduduk dan seorang ahli farmasi untuk setiap tiga doktor perubatan. Bagi menyokong usaha negara untuk meningkatkan bilangan ahli farmasi kepada 15,760 menjelang 2025, University of Nottingham Malaysia (UNM) akan memperkenalkan program ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) atau singkatannya BPharm.

Ketua Pusat Pengajian Farmasi University of Nottingham, UK (UoN), Profesor Barrie Kellam berkata, “University of Nottingham komited untuk menyediakan suasana pengajian yang menarik dan berkualiti yang akan mendidik dan memberi inspirasi kepada ahli farmasi, sains farmaseutikal dan sains bioperubatan pada masa depan.” Beliau menambah  bahawa Universiti ini berharap untuk memupuk pakar-pakar industri masa depan yang satu hari nanti bakal menemui dan membangunkan ubat, teknologi dan peralatan baharu bagi menyokong khidmat penjagaan kesihatan yang bertumpukan pesakit.

“UNM berusaha untuk melahirkan pemikir dan pencetus perubahan global. Program Sarjana Farmasi (MPharm) kami yang sedia ada, dengan akreditasi daripada Majlis Farmaseutikal Am, (GPhC) di Great Britain, telah mencatatkan kejayaan besar. Kami berharap program BPharm juga akan membantu kami mengukuhkan misi untuk melahirkan ahli-ahli farmasi yang berkualiti dan berwibawa,” ujar Profesor Kang Nee Ting, Ketua Pusat Pengajian Farmasi di UNM.

“Menerusi usaha ini, kami berharap untuk meningkatkan keupayaan ahli-ahli farmasi masa depan kita dan juga reputasi pusat pengajian ini di peringkat kebangsaan dan juga global,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kurikulum, pelajar tahun akhir akan diberi peluang unik untuk menguruskan farmasi mereka sendiri menerusi modul simulasi farmasi di kampus, supaya dapat meningkatkan keupayaan dan ilmu profesional masing-masing. Para graduan akan memanfaatkan penempatan kerja lanjut dalam industri farmaseutikal di Malaysia dan juga farmasi-farmasi komuniti. Ini membolehkan jaringan dibina untuk mengembangkan kerjaya mereka pada masa depan. Sepanjang program tersebut, mereka juga berpeluang melawat kampus di UK bagi melaksanakan projek penyelidikan masing-masing.

“Para pelajar BPharm UNM akan mendapat manfaat daripada ilmu pengetahuan farmaseutikal terbaik dari UK dan Malaysia menerusi modul bersepadu yang menggabungkan tema kajian saintifik dengan kerja amali dan profesionalisme,” ujar Pengarah Program BPharm UNM, Pusat Pengajian Farmasi, Profesor Madya Dr Bee Yean Low.

Suatu acara khas buat alumni telah diadakan di Semenyih bagi meraikan kecemerlangan pendidikan Bioperubatan-Farmasi UNM yang menjangkau lebih sedekad, dimana pelancaran program Bpharm juga turut dirasmikan. Pusat Pengajian Farmasi UNM telah ditubuhkan pada 2005 dan sejak itu telah mendidik lebih 1,000 pelajar. Menjelang 2022, Universiti ini berada di tempat kelima di dunia dalam bidang farmasi dan farmakologi, berasaskan Penarafan Dunia QS 2022 (atau QS World University Rankings 2023).

Langkah memperkenalkan program BPharm menyusuli kejayaan program ijazah Sarjana Farmasi (MPharm), Sarjana Muda Sains Bioperubatan, dan Sarjana Muda Sains dalam Farmaseutikal dan Sains Kesihatan UNM. Pendaftaran untuk BPharm bermula pada September 2023 dan kini dibuka untuk permohonan daripada pelajar baharu.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa