Siakap Keli
Gambar: Tangkap layar video tular

Tular Detik Terakhir Dipercayai Sebelum Yeti Airlines Terhempas, Rakan Dakwa Sempat Tengok ”Live” Mangsa Di Fb

Tular Detik Terakhir Dipercayai Sebelum Yeti Airlines Terhempas, Rakan Dakwa Sempat Tengok ”Live” Mangsa Di Fb

Sebuah video yang dipercayai milik seorang penumpang yang terlibat dalam nahas pesawat Yeti Airlines 691 telah tular di media sosial dengan menunjukkan detik terakhir penumpang tersebut sebelum dilapor terhempas di Nepal pada Ahad  lalu.

Memetik laporan CNN, pesawat itu terhempas ketika dalam perjalanan dari ibu negara Nepal Kathmandu ke Pokhara.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, terdapat 72 penumpang di dalam pesawat berkenaan, malah ia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 68 nyawa selepas dipercayai terhempas ke dalam gaung berhampiran lapangan terbang baharu di bandar itu.

Bagaimanapun, menurut seorang pegawai tempatan, pencarian mangsa terakhir masih lagi diteruskan.

Susulan kejadian, video yang tular di media sosial itu dipercayai telah disiarkan secara langsung di Facebook oleh salah seorang penumpang yang terlibat dalam nahas berkenaan.

Video yang dipaparkan itu menunjukkan bahagian dalam pesawat Yeti Airlines ketika ia sedang bersedia untuk mendarat di lapangan terbang yang baru dibuka di bandar Pokhara.

Rakaman tersebut menunjukkan seorang penumpang sedang tersenyum ketika pesawat tersebut terbang melintasi sebuah bangunan.

Gambar: Tangkap layar video tular

Bagaimanapun, penumpang tersebut seolah-olah tidak menyedari tentang situasi yang sedang dialami oleh dirinya dan rakan-rakannya kerana beberapa saat sebelum terhempas, dia dilihat kembali mengalihkan rakaman itu menghadap wajahnya sambil tersenyum di hadapan kamera.

Gambar: Tangkap layar video tular

Malah, ia turut diselangi dengan keterujaan dan gelak ketawa daripada rakan-rakannya.

Namun, suasana tenang yang dialami oleh penumpang di dalam pesawat itu mula bertukar menjadi panik apabila video tersebut mula kelihatan bergegar dengan kuat, malah jeritan daripada beberapa penumpang turut didengari.

Gambar: Tangkap layar video tular

Video tersebut kemudiannya berakhir dengan bunyi dentuman yang kuat sebelum pesawat tersebut dipercayai terhempas.

Ekoran kejadian, CNN melaporkan bahawa geolokasi dan maklumat yang diperoleh di laman web Yeti Airlines adalah sepadan dengan suasana di dalam video tersebut.

Lelaki yang dipercayai berusia 29 tahun dan berasal dari India itu telah disenaraikan sebagai penumpang dalam penerbangan tersebut, malah nombor tempat duduk yang disenaraikan di laman web syarikat penerbangan itu dilihat sepadan dengan visual yang diambil dari dalam pesawat.

Bukan itu sahaja, rakan rapat mangsa turut mengesahkan mengenai kehadiran mangsa di dalam pesawat itu.

Dia turut mendakwa bahawa sempat menonton video penstriman yang dilakukan oleh rakannya ketika berada di dalam pesawat berkenaan.

“Kami sedang menontonnya. Kami menonton hanya beberapa saat sebelum ia tamat. Namun, kami tidak terlalu memikirkan tentang hal itu,” katanya.

Sementara itu, ketua daerah Gazipur di India, Aryaka Akhouri turut berkata bahawa dia telah berjumpa dengan ibu bapa mangsa dan telah mengesahkan bahawa mangsa sememangnya berada di dalam pesawat itu.

Bagaimanapun, laporan tidak menjelaskan bagaimana mangsa mendapat capaian internet untuk menyiarkan siaran langsung di Facebook itu dan setakat ini tiada pengesahan dari pihak berkuasa mengenainya.

Sumber: CNN, Marca CBS News

Farah Nabilah