NASA & Boeing Dilapor Bakal Bekerjasama, Cipta Pesawat Baharu Menjelang 2030
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dilapor akan bekerjasama dengan sebuah syarikat aeroangkasa terbesar di dunia, Boeing untuk membina, menguji dan menerbangkan pesawat demonstrasi Transonic Truss-Braced Wing berskala penuh.
Memetik laman rasmi NASA, perkara itu diumumkan pada Rabu lalu dalam sebuah projek yang dikenali sebagai Demonstrator Penerbangan Mampan.
Difahamkan, NASA akan melabur sebanyak $425 juta dalam tempoh tujuh tahun, manakala rakan kongsi syarikat tersebut akan menyumbang baki pembiayaan perjanjian yang dianggarkan berjumlah kira-kira $725 juta.
Bukan itu sahaja, agensi itu juga bakal menyumbang kepakaran teknikal dan kemudahan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dilakukan.
Menurut Pentadbir NASA, Bill Nelson, NASA telah menjadi sebahagian daripada agensi yang boleh dipercayai apabila melibatkan penerbangan.
“Sejak awal lagi, NASA telah bersama dengan anda semua apabila anda terbang. NASA berani mengambil langkah untuk pergi lebih jauh, lebih cepat dan lebih tinggi. Dengan melakukan hal sedemikian, NASA telah menjadikan penerbangan lebih mampan dan boleh dipercayai kerana ia ada dalam DNA kami.
“Perkongsian NASA bersama Boeing yang mampu menghasilkan dan menguji pesawat demonstrasi berskala penuh ini merupakan matlamat kami, malah ia akan membantu membawa pesawat komersial pada masa hadapan dengan lebih cekap dari segi bahan api, memberi manfaat kepada alam sekitar, industri penerbangan komersial dan kepada penumpang di seluruh dunia.
“Jika kita berjaya melakukannya, kita mungkin dapat melihat teknologi ini dalam pesawat yang mampu membawa orang ramai ke langit pada tahun 2030-an,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.
Dalam pada itu, NASA merancang untuk menyelesaikan ujian bagi projek yang dijalankan itu pada akhir 2020-an supaya teknologi dan reka bentuk yang ditunjukkan oleh projek itu mampu membantu industri membuat keputusan mengenai pesawat satu lorong yang bakal beroperasi sekitar tahun 2030-an.
Difahamkan, reka bentuk yang sedang diusahakan oleh NASA dan Boeing itu mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon dioksida sehingga 30 peratus berbanding pesawat yang lain.
Dengan menggunakan konsep Transonic Truss-Braced Wing, sayap pesawat tersebut akan dibina dengan lebih panjang dan nipis yang dapat menstabilkan pepenjuru pesawat.
Ia juga dapat menghasilkan pesawat yang menggunakan bahan api dengan lebih cekap daripada pesawat tradisional kerana ia dikatakan mampu menghasilkan seretan yang kurang berbanding pesawat lain.
Menurut pentadbir bersekutu NASA, Bob Pearce, projek itu bakal menggabungkan teknologi penerbangan hijau yang lain.
“NASA sedang berusaha ke arah matlamat untuk membangunkan teknologi yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan tenaga penerbangan sepanjang dekad pada masa hadapan bagi mencapai matlamat komuniti penerbangan iaitu pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.
“Transonic Truss-Braced Wing adalah jenis konsep dan pelaburan transformatif yang kita perlukan untuk menghadapi cabaran tersebut dan secara kritis, teknologi yang ditunjukkan dalam projek ini mempunyai laluan yang jelas dan berdaya maju untuk memaklumkan kepada generasi akan datang mengenai pesawat satu lorong,” katanya.
Sementara itu, ketua pegawai teknologi Boeing, Todd Citron menjelaskan bahawa pihaknya berasa amat berbesar hati dengan kerjasama yang dilakukan bersama agensi NASA itu.
“Kami berbesar hati untuk meneruskan perkongsian kami dengan NASA dan menunjukkan teknologi yang dapat meningkatkan kecekapan aerodinamik seperti mengakibatkan pembakaran dan pelepasan bahan api yang jauh lebih rendah,” tambahnya.