Siakap Keli
Gambar: Department of Environment and Science QLD

Digelar Sebagai “Toadzilla”, Renjer Hutan Terkejut Temui Katak Gergasi Sebesar Bayi Manusia

Digelar Sebagai “Toadzilla”, Renjer Hutan Terkejut Temui Katak Gergasi Sebesar Bayi Manusia

Seekor katak gergasi beracun yang terbesar daripada spesiesnya ditemui di hutan simpan di utara Australia, lapor The Guardian.

Katak tebu gergasi yang digelar “Toadzilla” itu ditemui oleh renjer di Taman Negara Conway Queensland pada hari Khamis dan dipercayai ia merupakan spesies terbesar yang pernah ditemui.

Pada waktu itu, renjer Kylee Gray berkata dia sedang berjalan di taman negara dan berhenti seketika untuk membiarkan seekor ular melintasi trek sebelum menemui katak gergasi tersebut.

“Kami menggelarnya sebagai Toadzilla dan dengan pantas mengambil katak tersebut untuk dimasukkan ke dalam bekas supaya kami boleh membawanya keluar,” katanya.

Gambar: Department of Environment and Science QLD

Difahamkan, katak tebu ini biasanya boleh membesar sehingga sekitar 15 sentimeter. Ia adalah salah satu spesies invasif yang paling terkenal di Australia dan dianggap sebagai ancaman kepada hidupan liar.

Memetik The Guardian, katak berwarna coklat ini boleh membawa maut kepada hidupan liar dan menyebabkan kepupusan beberapa pemangsanya. Mereka juga bersaing dengan spesiesnya yang lain untuk mendapatkan tempat perlindungan dan sumber makanan.

Katak terbesar yang pernah ditemui ialah seberat 2.65 kilogram pada tahun 1991, menurut Guinness World Record.

Renjer yang menemui Toadzilla membawa katak tersebut kembali ke pangkalan mereka untuk ditimbang dan mendapati haiwan amfibia itu seberat 2.7 kilogram, yang boleh menjadi rekod baharu.

“Seekor katak tebu sebesar itu akan memakan apa sahaja yang boleh masuk ke dalam mulutnya dan itu termasuklah serangga, reptilia dan mamalia kecil,” kata Gray.

“Ia ditemui pada ketinggian 393 meter, tetapi kakitangan renjer kami hanya berminat dengan saiznya,” tambahnya.

Gray berkata Muzium Queensland juga turut berminat untuk mengambil katak yang terbesar dalam rekod itu.

Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa umur Toadzilla, tetapi mengesyaki ia telah wujud untuk masa yang lama.

“Katak tebu boleh hidup sehingga 15 tahun di dalam hutan, jadi berkemungkinan ia sudah lama wujud. Kami berbangga kerana telah mengeluarkannya dari taman negara,” katanya.

Sumber: The Guardian

Noorliyana Ishak