Siakap Keli
Nenek 55 Tahun Mengaku Ketagih Mandi Lumpur
Gambar: Ahmad Viqi/detikBali

Nenek 55 Tahun Mengaku Ketagih Mandi Lumpur Dekat TikTok, Dakwa Lagi Untung Dari Turun Sawah

Nenek 55 Tahun Mengaku Ketagih Mandi Lumpur Dekat TikTok, Dakwa Lagi Untung Dari Turun Sawah

Seorang nenek berusia 55 tahun mengakui ketagih untuk mandi lumpur secara langsung di laman TikTok sehingga mendapat perhatian ramai di media sosial tersebut, lapor detikBali.

Layar Sari atau Inak Mawar dari Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, Indonesia itu mendakwa dia mampu memperoleh 1.5 juta rupiah (RM425) apabila melakukan penstriman langsung selama sejam di TikTok.

Difahamkan, Inak Mawar hanya duduk di dalam kolah yang dipenuhi air lumpur dan menyiram air itu ke seluruh tubuhnya.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

“Saya dapat 9 juta rupiah (RM2,554) setelah sembilan kali live. Daripada pergi bekerja di sawah dari pagi hingga petang, saya hanya diberi 35,000 rupiah (RM9) sahaja,” kata Inak Mawar kepada detikBali.

Inak Mawar merupakan salah seorang yang giat mandi lumpur di akaun TikTok @intan_komalasari92 dan @bocahperik, akaun berkenaan diuruskan oleh jirannya yang dikenali Sultan Ahyar.

Gambar: Ahmad Viqi/detikBali

Bagaimanapun, Inak Mawar mengatakan dia tidak dipaksa untuk mandi lumpur dan melakukannya dengan rela.

Dia juga mendakwa tidak pernah mengalami demam atau selesema walaupun berjam-jam menyiram air ke badannya semasa bersiaran langsung pada waktu pagi dan petang.

“Saya tidak pernah bersiaran langsung pada waktu malam. Saya juga tidak tahu dari mana datangnya wang itu, yang penting wang tersebut dari Sultan Ahyar,” katanya.

Inak Mawar berkata wang yang diperoleh daripada mandi lumpur di TikTok itu digunakan untuk membayar hutang bank dan membeli mainan untuk enam cucunya, selebihnya digunakan untuk membeli keperluan harian.

Memetik detikBali, aktiviti mandi lumpur secara langsung di TikTok tersebut mula mendapat perhatian ramai penduduk setempat sehingga ramai yang meminta Sultan Ahyar untuk memberi peluang kepada mereka melakukan perkara yang sama seperti Inak Mawar.

Sementara itu, pemilik akaun TikTok @intan_komalasari92 berkata dia tidak pernah memaksa pelakonnya untuk mandi lumpur.

Menurut Intan, wang yang diperoleh daripada melakukan siaran langsung di TikTok itu dikongsi bersama pelakonnya.

“Wang tersebut dibahagi dua, kalau dapat 2 juta rupiah (RM567), yang mandi akan dapat separuh daripada itu,” kata Intan.

Penstriman langsung di TikTok digunakan untuk berinteraksi dengan penonton secara langsung dan juga boleh menjadi platform untuk menjana wang tunai.

Apabila melakukan siaran langsung, penonton boleh memberi hadiah kepada pemilik akaun dan hadiah tersebut boleh ditukarkan kepada wang tunai.

Sumber: detikBali

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.