Petani Argentina Hasilkan ‘Tatu’ Wajah Lionel Messi Di Ladang Jagung
Seorang petani di Argentina telah menghasilkan wajah Lionel Messi pada ladang jagungnya yang terletak di kawasan luar bandar Ballesteros, kira-kira 500 kilometer barat laut Buenos Aires sebagai tanda meraikan kehebatan pemain bola sepak itu.
Menurut NDTV, Charly Faricelli memberitahu AFP bahawa dia mula merancang untuk menghasilkan wajah Messi di ladang jagung miliknya sebelum Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar bulan lepas.
“Idea itu adalah salah satu penghormatan daripada dunia pertanian kepada Messi sama ada dia memenangi Piala Dunia atau tidak, tetapi bersyukur dia berjaya menjadi juara, kata Faricelli.
Wajah Messi di ladang jagung milik Faricelli yang seluas empat padang bola itu hanya boleh dilihat dari udara dan semakin jelas apabila tanaman tersebut mula membesar.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Menurut Faricelli, wajah Messi yang dihasilkan di ladang jagungnya itu adalah ‘tatu’ pertanian, ia tidak seperti reka bentuk tanaman yang lain di mana tumbuhan akan ditebang untuk menghasilkan imej tersebut.
‘Tatu’ Messi ini adalah hasil daripada kepekatan biji benih yang ditanam, lapor NDTV.
Faricelli menjelaskan bahawa dengan adanya kemajuan dalam teknologi pertanian, traktor dapat mengetahui dengan tepat berapa banyak biji benih yang diperlukan untuk disemai.
Selain itu, dia juga mengalu-alukan petani lain di media sosial untuk melakukan perkara yang sama dan berkongsi proses penghasilan wajah Messi di ladang jagung itu sebagai rujukan kepada mereka.
“Terdapat 25 wajah Messi di ladang jagung di lima wilayah yang berbeza,” kata Faricelli.
Selepas kemenangan Argentina di Piala Dunia 2022, ramai peminat pasukan bola sepak negara tersebut mendapatkan tatu Lionel Messi sama ada di tubuh badan atau di ladang pertanian mereka.
Sumber: NDTV