Corak Selimut ‘Legend’, Netizen Teruja Tengok Kemeja Nobody Ini, Gamit Nostalgia Lama
Satu jenama pakaian, Nobody baru-baru ini mencuri tumpuan rakyat Malaysia apabila rekaan salah satu kemejanya, ‘Milagros’ tampil menyerupai corak selimut ‘legend’ yang sangat popular suatu ketika dahulu.
Walaupun masih diperingkat pembangunan, jenama yang berasal dari Filipina ini berkata mereka sedang dalam proses untuk melancarkan koleksi tersebut suatu hari nanti.
”Ramai daripada kita mempunyai memori yang indah apabila melihat corak ini. Ketika ini, kami sedang berusaha menjejaki asal usul rekaan tersebut dan berterima kasih sekiranya ada pihak yang sudi membantu.
”Apa pun, kali ini kami mahu berkongsi dengan anda terlebih dahulu serba sedikit rancangan kami berkenaan koleksi ini. Harap anda semua menyukainya,” kata jenama itu.
Difahamkan, Milagros merupakan nama seorang wanita dan ia dinamakan sebegitu bagi mengekalkan tradisi menamakan koleksi-koleksi khas Nobody dengan nama-nama wanita yang dikagumi ramai.
Menjengah di ruangan komen, hantaran yang dibuat Nobody menerusi laman facebooknya pantas mencuri tumpuan netizen, khususnya warga Malaysia.
Rata-rata berkongsi rasa teruja melihat rekaan tersebut kerana mengundang kembali kenangan silam masing-masing di zaman kanak-kanak.
Seperti yang kita tahu, sebelum kehadiran comforter, selimut tradisional yang memiliki corak bunga merah seperti di atas dan terdapat dalam pelbagai variasi warna menjadi pilihan ramai untuk menghangatkan badan pada waktu malam, sekitar tahun 80 hingga awal 2000-an. Malah, sehingga kini, selimut berkenaan masih boleh didapati menerusi platform atas talian.
Selimut ini juga terkenal dengan pelbagai nama jolokan seperti Selimut Legend, Selimut Sejuk, Selimut Cotton, Selimut Zaman Lama, Selimut Zaman Single dan juga Selimut Opah.
Disebabkan ketebalannya yang tidak begitu ketara dan juga tidaklah terlalu nipis, ia dikatakan cukup sesuai dengan cuaca malam di negara ini dan pemiliknya pasti dapat tidur dengan nyenyak.
Sumber: Nobody via Facebook