Siakap Keli
Kredit: Insider

Kenapa Kebanyakan Butang Baju Kemeja Lelaki Di Belah Kanan & Wanita Belah Kiri? Ini Alasan Yang Ramai Tak Sangka

Kenapa Kebanyakan Butang Baju Kemeja Lelaki Di Belah Kanan & Wanita Belah Kiri? Ini Alasan Yang Ramai Tak Sangka

Sesetengah orang, gemar memakai baju kemeja berbutang kerana disifatkan kemas dan lebih selesa, selain faktor mudah untuk disarung. Baik lelaki mahupun wanita, baju kemeja berbutang tersedia dalam pelbagai rekaan, namun selalunya minimalis sahaja coraknya.

Jika anda perasan, posisi butang pada kebanyakan baju kemeja lelaki dan perempuan sebenarnya berbeza. Kebanyakkan baju kemeja lelaki, butangnya ada pada belah kanan manakala baju kemeja perempuan pada belah kiri. Situasi ini juga sama dengan kedudukan zip.

Persoalannya, kenapa berbeza posisi? Sebenarnya, tiada siapa yang tahu dan dapat memberikan jawapan yang tepat. Namun, beberapa pihak tampil mengemukakan jawapan yang dirasakan bertepatan dengan tujuan ia direka sedemikian rupa.

Gambar hiasan | Kredit: Insider

Merujuk kepada kedudukan butang baju kemeja lelaki pada belah kanan, ada pendapat yang mengatakan ia ada kena mengena dengan sejarah penggunaan senjata pada zaman silam.

Chloe Chapin, merupakan seorang ahli sejarah dalam bidang fesyen berkata bahawa gaya tersebut sering dikenakan dalam bidang ketenteraan.

Jika anda memiliki pistol yang tersembunyi dalam kemeja anda, senjata tersebut lagi mudah dicapai dengan tangan yang lebih dominan, iaitu tangan kanan.  Maka, jika butang baju kemeja anda berada di sebelah kanan, secara teorinya adalah lebih mudah untuk anda mencapai senjata yang mungkin disorokkan pada bahagian kiri badan.

Sebelum senjata api digunakan secara meluas di Eropah, butang baju kemeja lelaki di sebelah kanan mungkin juga ada kena mengena dengan penggunaan pedang.

“Pedang lelaki biasanya diletak pada belah kiri, maka ia akan dikeluarkan dengan tangan kanan.

“Jika kemeja dibutangkan dari kanan ke kiri, pemegang pedang tersebut akan cenderung untuk tersangkut pada bukaan jaket semasa ia dikeluarkan.

“Maka, pengguna pedang yang serius akan meminta untuk membuat pakaian yang dibutangkan dari kiri di atas bahagian baju kanan.

”Sebagai salah satu indikator mengenai gaya hidup maskulin, tradisi ini telah diaplikasikan ke beberapa pakaian lelaki yang lain,” kata Paul Keers, pengarang A Gentleman’s Wardrobe, memberitahu pihak The Guardian.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Akan tetapi, mengapa butang kemeja wanita berada di sebelah kiri pula?

Menurut Melanie Moore, pengasas jenama kemeja Elizabeth & Clarke, perkara ini boleh terjadi ketika butang dicipta pada abad ke-13. Ketika itu, wanita yang memakai kemeja tidak semestinya dipakaikan oleh dirinya sendiri.

“Wanita kaya pada ketika itu tidak memakai pakaian mereka sendiri, pembantu mereka yang akan memakaikan pakaian pada badan mereka.

“Memandangkan kebanyakan manusia menggunakan tangan kanan, ia akan memudahkan seseorang untuk berdiri di hadapan anda untuk memasangkan butang pada pakaian anda,” kata Moore.

Teori tersebut merupakan salah satu teori yang sering digunakan secara meluas, tetapi terdapat beberapa teori yang kedengaran agak munasabah.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Salah satunya, wanita akan menggunakan tangan kiri mereka untuk mendokong bayi mereka. Oleh itu, mereka akan menggunakan tangan kanan mereka untuk membuka butang baju mereka ketika hendak menyusu.

Terdapat teori lagi yang menarik, iaitu suatu ketika dahulu wanita bangsawan dikatakan gemar menunggang kuda dengan kedudukan sisi. Jadi, kedudukan butang pada sebelah kiri dapat mengurangkan aliran udara daripada memasuki kemeja wanita dan pelbagai teori lain.

Sudah semestinya, ia masih menjadi tanda tanya bagi persoalan mengapa syarikat fesyen masih meneruskan pembuatan kemeja dengan kedudukan butang yang berbeza.

Jika anda membeli pakaian yang memiliki kedudukan butang pada bahagian kurang lazim, ia akan memberikan rasa janggal ketika untuk memasang butang baju atau paling teruk, terdapat beberapa kemungkinan anda tidak mungkin perasan perubahan kedudukan butang pada pakaian anda, lagi-lagi jika anda membeli pakaian di bundle.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Walau bagaimanapun, kemeja lelaki dan wanita mungkin berterusan dihasilkan dengan kedudukan butang yang berbeza posisi.

Buat masa ini, fungsi kedudukan butang sekurang-kurangnya dapat membezakan antara kemeja lelaki dan kemeja wanita.

BACA: (Video) Kenapa Kemeja Staff Mcd Lain-lain? Wanita Ini Jelaskan Jawatan Mengikut Warna Kemeja

Sumber: Insider

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma