Siakap Keli
Kredit: Angela Weiss/AFP

Justin Bieber Dilapor Jual Hak Cipta Lagu Lebih RM800 Juta

Justin Bieber Dilapor Jual Hak Cipta Lagu Lebih RM800 Juta

Penyanyi antarabangsa terkenal, Justin Bieber dilapor telah menjual hak cipta semua lagu miliknya kepada sebuah syarikat pelaburan, Hipgnosis Songs Capital dengan harga $200 juta (RM853,500,000) pada Selasa.

Memetik laporan Daily Mail, kesemua 290 lagu itu merupakan lagu dari sepanjang 15 tahun kerjaya penyanyi terkenal itu.

Menurut pengasas syarikat Hipgnosis, Merck Mercuriadis, impak yang ditunjukkan oleh Justin Bieber terhadap budaya muzik sejak 14 tahun yang lalu benar-benar dianggap sebagai perkara yang luar biasa.

“Ini merupakan antara tawaran terbesar yang pernah dilakukan untuk artis di bawah umur 70 tahun.

“Pengurus Justin Bieber, Scooter Braun telah membantu penyanyi itu menghasilkan lagu yang hebat dan kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Justin serta lagu-lagunya yang luar biasa kepada syarikat Hipgnosis,” katanya.

Difahamkan, ia dilakukan sebulan selepas penyanyi itu hampir menandatangani perjanjian untuk menjual keseluruhan lagunya dengan harga hampir mencecah $200 juta.

Pada masa itu, penyanyi kelahiran Kanada itu dipercayai sedang berunding dengan syarikat Hipgnosis Songs Capital dan syarikat Blackstone.

Selain itu, pihak pengurusan Hipgnosis juga turut menawarkan peluang kepada pelabur untuk memperoleh royalti daripada karya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain seperti Barry Manilow dan Beyonce.

Menurut syarikat itu, perjanjian yang dilakukan bersama Justin Bieber merupakan perjanjian terbesar yang pernah dirunding oleh syarikat itu.

Penyanyi terkenal itu turut dianggap sebagai artis rakaman paling berjaya dalam sejarah kerana mempunyai nilai sebanyak $300 juta, malah dia berjaya menjual 150 juta rekod di seluruh dunia.

Pada bulan Mei yang lalu, seorang penyanyi lain, Justin Timberlake dipercayai turut menjual hak cipta keseluruhan lagunya dalam sebuah perjanjian yang dianggarkan bernilai $100 juta kepada syarikat Hipgnosis.

Sumber: Daily Mail, BBC

Farah Nabilah