Siakap Keli
Gambar: Indozone

Lari Dari Rumah Kerana Takut Sunat, Lelaki Akhirnya Pulang Setelah 25 Tahun Menghilang

Lari Dari Rumah Kerana Takut Sunat, Lelaki Akhirnya Pulang Setelah 25 Tahun Menghilang

Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dilaporkan lari dari rumah gara-gara takut bersunat akhirnya pulang ke rumah setelah 25 tahun menghilang, lapor Detik.com.

Kepulangan lelaki warga Kecamatan Polanharjo, Indonesia itu telah disambut oleh keluarga serta penduduk setempat.

Keluarganya yang terkejut dengan kemunculannya menyambut lelaki itu dengan tangisan kegembiraan selepas 25 tahun dia menghilang tanpa khabar berita.

“Daripada penilaian dan semakan keluarga, lelaki terbabit telah menghilang ketika dia di darjah 1. Dia dikatakan trauma untuk berkhatan,” kata Koordinasi Pekerja Kebajikan Masyarakat Daerah Klaten, Joko Prayitno pada hari ini.

Joko menjelaskan bahawa permulaan pencarian lelaki itu bermula dengan kandungan YouTuber yang menemui seseorang dengan masalah gangguan mental (ODGJ) di Kabupaten Bantul dan kemudiannya tular di kalangan penduduk. Mereka telah menemukan lelaki itu yang mengakui berasal dari Klaten.

“Tenaga Kesejahteraan Sosial Kecamatan (TKSK) mempunyai hubungan yang baik dengan rakan TKSK dan institusi lain di kawasan yang lain. Kebetulan kami bertemu dengan YouTuber yang mengendalikan OGDJ lalu dia memberitahu kami hal tersebut,” kata Joko.

Joko berkata TKSK kemudiannya menghubungi rakannya di Bantul untuk membuat semakan. TKSK di daerah Klaten telah berbincang dengan keluarga lelaki tersebut.

“Kami menemui keluarganya untuk memeriksa ciri-ciri istimewa yang dimiliki anak mereka dengan lelaki tersebut yang turut dihadiri oleh ketua kampung. Hari ini jelas, kami menjalankan penyatuan semula keluarga itu,” jelas Joko lagi.

Menurut Joko, sepanjang kehilangan lelaki itu selama berpuluh-puluh tahun, pihak keluarga telah mencuba pelbagai cara untuk mencarinya tetapi tetap tidak menemuinya. Akhirnya dia ditemui di Bantul selepas lebih dua dekad menghilang.

“Akhirnya jumpa. Ditemui di Kabupaten Bantul, tepatnya di Pasar Kepek, Sewon, Bantul, Jogja,” tambah Joko.

Joko menjelaskan lelaki terbabit berada dalam keadaan sihat dan keadaan mentalnya juga bukanlah 100 peratus ODGJ, tetapi hanya trauma sahaja.

Abang lelaki tersebut menyatakan bahawa adiknya itu telah hilang sekitar tahun 1998 lagi. Ketika itu dia keluar rumah kerana takut dan enggan berkhatan.

“Awalnya dia nak berkhatan. Bila keluar dia cuma bawa kereta mainan. Mula-mula pada malam sebelumnya dia berani, tapi bila sudah pagi dia menghilang,” kata abang lelaki berkenaan kepada Detik.com.

Sumber: Detik.com

Syed Faisal Sayed Muhammad