Siakap Keli

KPM Tumpu Tujuh Fokus Utama, Kebaijkan Guru, Kemiskinan Murid Jadi Tumpuan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan sejak tahun 1998 meletakkan bahawa, “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Pentingnya aspirasi sistem pendidikan menjadi cerminan kepada aspirasi negara juga. Oleh itu, perubahan dan penambahbaikan sistem pendidikan negara perlu segera bermula dengan merenung kembali Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya matlamat ini dapat kita rasa dan kecapi bersama. 

YB Puan Fadhlina Sidek, pada 19 Januari 2023 telah memberi amanat Tahun Baharu 2023 kepada warga Pendidikan Malaysia merangkumi beberapa aspek antaranya; mendepani cabaran pendidikan, memacu hala tuju dan merangka tujahan ke hadapan yang memerlukan kesiapsiagaan bagi menjayakan agenda pendidikan negara dalam rangkulan Malaysia Madani. 

Beliau menjelaskan terdapat tujuh (7) teras telah digariskan, merangkumi tiga (3) elemen utama iaitu, murid, guru dan infrastruktur yang menjadi inti pati utama landskap pendidikan di negara kita. 

Teras pertama – Menjadikan Komunikasi Antara Kementerian Dan Sekolah Lebih Cekap Dan Telus

“Saya mahu semua aduan, cadangan dan pertanyaan terus dikemukakan melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan oleh KPM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli, dan Kaunter Khidmat Pelanggan.  Semua ini mesti direkodkan, dan jangan ambil mudah walau satu aduan, pertanyaan mahupun cadangan. Saya ulang, jangan ambil mudah,” kata YB Puan Fadhlina Sidek. 

Teras kedua – Memberi Penekanan Kepada Aspek Karamah Insaniah Melalui Pembentukan Adab, Akhlak Dan Integriti

Menurut beliau, dengan pelbagai isu melibatkan murid yang menjadi ‘makanan’ kepada media sosial, penerapan nilai dan akhlak ini memerlukan usaha jitu melibatkan semua pihak. Peranan ibu bapa, masyarakat, guru dan pemimpin sekolah amat penting.  

Galakan rentas disiplin sains, teknologi, sukan, seni liberal dan kreatif menajamkan lagi pemikiran kritis, celik masa hadapan dan tinggi susila serta pekerti mulia. ‘Perjuangan’ memantapkan rukun MADANI bermula dari dalam bilik darjah. 

Teras ketiga – Memberi Perhatian Terhadap Isu Kemiskinan Multidimensi Murid Daripada Keluarga B40: Malnutrisi, Peranti dan Ruang Belajar Murid

Bagi mengelakkan terjadinya ‘the lost generation’, kemiskinan multidimensi juga harus dianggap serius. Program khas dengan penglibatan partisipasi korporat menerusi projek-projek CSR, partisipasi aktivis-aktivis pendidikan dan kemasyarakatan wajar dilaksanakan supaya ada ruang yang boleh dimanfaatkan bersama, ada intervensi yang mampu dilakukan bersama, ada kekuatan yang saling boleh dipinjam, belajar dan tekuni bersama. 

Teras keempat – Memberi Perhatian Keciciran Pendidikan Serta Masalah Literasi Dan Numerasi, Dalam Konteks Merapatkan Kesenjangan Pendidikan

Pelbagai usaha dan langkah serta program yang diperkenalkan dan sentiasa di perbaharui semata-mata untuk menjadikan Malaysia sifar buta huruf. Hasil dari kaji selidik yang dijalankan oleh para penyelidik menunjukkan program LINUS (Literacy and Numeracy) dan LINUS 2.0 telah berjaya dan dapat mengurangkan jumlah pelajar buta huruf. 

Pun begitu, masih terdapat liang-liang kelemahan perlu diperbaiki dan menurut beliau, tahun 2023 bakal memperlihatkan KPM dengan intervensi pelbagai dimensi termasuk dengan penglibatan dalam sukan dan ko- kurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan ngo serta aktivis- aktivis pendidikan.

Teras kelima – Memberi Fokus Kepada Kebajikan Guru Adalah Teras Utama Keberkesanan Penyampaian Pendidikan

Guru ialah obor hemah dan tunjang terpenting dalam mendukung sistem pendidikan negara. Kegembiraan dan keselesaan guru dalam melaksanakan tugas akan memastikan manfaat besar kepada murid. 

“Suara keluhan mereka tidak boleh sesekali diabaikan,” menurut YB Puan Fadhlina Sidek.

Teras keenam – Memberi Tumpuan Kepada Usaha Ubah Suai Dan Naik Taraf Bangunan Sekolah Yang Daif Terutamanya di Sabah dan Sarawak

KPM memandang serius infrastruktur sekolah, justeru itu, peruntukan pembangunan yang diterima akan digunakan untuk melaksanakan projek sambungan, termasuk projek daif sedia ada serta penyelenggaraan institusi pendidikan yang didiami oleh guru dan kakitangan sekolah.

Teras ketujuh – Meningkatkan Keupayaan Pendidikan Digital Di Sekolah

Terakhir, teras ketujuh ini memperlihatkan pelaksanaan proaktif dengan urus sama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan bawah KPM. Hasil dapatan libat urus tersebut akan dikemukakan sebagai cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Memetik kata hikmat Nelson Mandela, “Pendidikan ialah senjata terbaik untuk mengubah dunia”. Malala Yousafzai juga telah mengingatkan kepada kita semua, “Satu pen, satu buku, seorang kanak-kanak dan seorang guru boleh mengubah seluruh dunia.”  Realiti dan hakikatnya, kesemua kita ini adalah harapan nusa dan bangsa. Keterlibatan kita ini, tidak terletak kepada warga pendidik sahaja, ia sebenarnya menjadi tunggak kepada harapan Malaysia.

Kita semua adalah ‘superhero’ rakyat yang sesungguhnya.

Nur Farra